AGENSISELANGOR

Karnival Kawan Kraf Selangor saji pelbagai aktiviti, 300 gerai jualan kraf tangan

SHAH ALAM, 16 OKT: Orang ramai dijemput hadir ke Karnival Kawan Kraf Selangor 2023 di Pavilion Bukit Jalil yang dijadual berlangsung mulai Khamis hingga Ahad ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik diadakan termasuk 300 reruai jualan dan pameran kraf tangan selain sesi bual bicara dengan usahawan berjaya.

“Selain itu turut diadakan bengkel kemahiran lukisan eko dan teknik pewarnaan menggunakan bahan semulajadi (eco printing and natural dye) dan padanan perniagaan.

“Jom hadir beramai-ramai ke Karnival Kawan Kraf Selangor 2023. Jumpa anda di sana,” katanya di Facebook.

Menurut agensi itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual mencemar duli menyempurnakan program berkenaan pada Sabtu ini.

Baginda diiringi oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.


Pengarang :