Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk empat, kiri) dan delegasi Kerajaan Negeri bergambar bersama diaspora Malaysia di Jordan dalam majlis makan malam di Amman, Jordan pada 11 Oktober 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB kongsi pencapaian, hala tuju negeri bersama diaspora di Jordan

SHAH ALAM, 12 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkongsi misi, hala tuju dan pencapaian negeri dalam pertemuan bersama diaspora Malaysia di Jordan malam tadi.

Menerusi Facebook, beliau berkongsi cita-cita Selangor untuk menjadi Negeri Pintar Ulung di Asia Tenggara dengan pelbagai inisiatif pendigitalan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Turut disentuh Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjelang pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat ini, yang bakal mengubah hala tuju ekonomi supaya lebih bersifat insani.

Amirudin juga yakin belanjawan yang akan dibentangkan kelak bersifat syumul dan mampu berkembang mendepani krisis geopolitik, keterjaminan makanan, ekonomi global serta kesihatan.

“Saya turut berkongsi citra dan aspirasi Selangor menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu satu-satunya negeri dengan perancangan ini melengkapi RMK12.

“Gerak kerja Kerajaan Negeri dipacu oleh tekad dan iltizam segar dengan idea baru berlandaskan prinsip-prinsip keadilan, kebajikan dan holisitik menyamai konsep Malaysia Madani,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pertemuan bersama diaspora di Timur Tengah dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah dengan rakyat Malaysia di Jordan.

RS-1 yang dibentang Julai tahun lalu menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan mutu kehidupan rakyat dengan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Pelan bagi menangani cabaran semasa tanpa terlalu bergantung kepada Putrajaya digerakkan menerusi empat teras, lima pemangkin dasar dan 262 projek serta inisiatif melalui 19 pemacu perubahan.


Pengarang :