Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2023.
ADNSELANGOR

Naik taraf kemudahan awam, sekolah antara 37 projek pembangunan di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Sebanyak 37 projek pembangunan rakyat telah dilaksanakan di Parlimen Sungai Buloh bagi tahun 2023, melalui Peruntukan Projek Mesra Rakyat kawasan Parlimen itu, kata Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk R. Ramanan.

Beliau berkata daripada 37 projek tersebut, enam projek untuk menaik taraf kemudahan awam, lapan projek menaik taraf dan pembangunan masjid dan surau, empat projek menaik taraf rumah ibadat bukan Islam, 12 projek menaik taraf dan pembangunan sekolah kebangsaan, lima projek menaik taraf dan pembangunan sekolah menengah dan dua projek menaik taraf dan pembangunan sekolah vernakular.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi semua Ahli Parlimen kerajaan. RM2 juta yang diperuntukkan dapat digunakan bagi membangun kawasan parlimen sendiri.

“Dengan rasa syukur, Parlimen Sungai Buloh telah berjaya melaksanakan perbelanjaan sebanyak RM2 juta, yang telah diperuntukkan di bawah pemantauan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) Negeri Selangor,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Ramanan turut menyarankan, isu fundamental dan paparan realiti kemiskinan di Malaysia memerlukan komuniti semua pihak berkepentingan bagi merapatkan jurang perbezaan kemiskinan yang masih wujud.

Beliau berkata setiap insan perlu berperanan supaya bersifat ihsan agar berkeupayaan dan berkemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain.

“Kerjasama setiap pihak berkepentingan, sehinggalah Ahli Parlimen kerajaan dalam membahaskan persoalan melibatkan kelangsungan rakyat di kawasan masing-masing, mampu mengakhiri kitaran ganas kemiskinan,” katanya.

Ramanan berkata semua ini tidak boleh berlaku sekelip mata, tetapi melalui keazaman dalam setiap insan untuk bersifat ihsan sebagai sebuah masyarakat Malaysia MADANI.

Beliau juga menekankan bahawa aspek pendidikan merupakan kunci utama bagi memartabatkan sebuah tamadun dan bagi mencapai matlamat itu, di Parlimen Sungai Buloh sedang giat dijalankan usaha untuk memupuk minat pelajar dalam subjek STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) dalam kalangan pelajar.

Ramanan berharap, melalui inisiatif seumpama itu tidak mustahil satu hari nanti kawasan Sungai Buloh mampu melahirkan bakat baru yang mampu membantu negara menyaingi syarikat Tesla.

— BERNAMA


Pengarang :