Sawah padi Sekinchan mencapai penghasilan 12 tan per hektar berdasarkan data Perangkaan Agromakanan 2018 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Foto Ihsan Tourism Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALPENDAPATRENCANA

Padi Selangor lebih berisi, hasil tertinggi dalam negara

Sekinchan mempelopori hasil padi tertinggi dalam negara apabila merekod 12 tan setiap hektar berbanding negeri lain sekitar empat tan berdasarkan data Perangkaan Agromakanan 2018 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Negeri dengan jolokan Jelapang Padi, Kedah hanya menghasilkan 4.45 tan per hektar manakala Perak 3.57 tan. Purata pengeluaran bagi Semenanjung Malaysia pada 2018 adalah 4.31 tan per hektar.

Menurut pakar pertanian dari Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhamad Shakirin Mispan, selain faktor tanaman lima musim dalam dua tahun berbanding empat musim di negeri lain, tatacara operasi piawai (SOP) penanaman juga rapi.

Majoriti pesawah di Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.

Kejayaan itu mahu dicontohi Sarawak. Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mengakui kaedah penanaman di Sekinchan cukup maju.

Beliau juga mendapati Sekinchan mempunyai 75 peratus Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi sekali gus memberi pendapatan baik kepada pesawah.

“Jadi, itu akan menjadi hala tuju kami, saya akan terus meminta pegawai saya untuk pelajari dan mengkaji terutama apa yang mereka (di Sekinchan) lakukan,” katanya pada 9 Jun.

Pakar pertanian Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhamad Shakirin Mispan. Foto Ihsan Prof Madya Dr Muhamad Shakirin Mispan

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu juga mendapati Selangor mengaplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) bagi meningkatkan hasil tuaian.

Dr Muhamad Shakirin yang mengkaji pengurusan tanaman padi sejak 17 tahun lalu turut mengakui amalan baik petani Sekinchan dan wajar dijadikan panduan umum serta penanda aras kepada pesawah seluruh negara untuk meningkatkan hasil.

“Infrastruktur sawah khususnya pengairan berkesan dilihat sebagai satu kelebihan bagi Sekinchan dan pesawah menggunakan kelebihan ini untuk menghasilkan padi yang lebih baik,” katanya kepada Selangorkini pada 21 Oktober.

Bantuan kerajaan

Pembangunan itu turut disokong Kerajaan Negeri yang berbelanja kira-kira RM8.9 juta kepada lebih 9,000 pesawah sepanjang tahun ini.

Menurut EXCO Pertanian Ir Izham Hashim, peruntukan tersebut bagi memastikan hasil tanaman lebih baik sekali gus menambah pendapatan pesawah.

“Kita memberi bantuan RM300 untuk setiap hektar kepada petani dibayar yang secara tunai supaya mereka dapat tingkatkan hasil padi dan bantuan dalam bentuk benih bernilai RM200.

“Ini bukti bahawa Kerajaan Selangor tidak pernah mengabai sesiapa termasuk golongan petani dan pesawah kerana kita mahu ekonomi negeri ini dinikmati semua penduduk,” katanya.

Pada masa sama, sektor pertanian itu dimodenkan. Penanaman secara mencedung (transplanter) juga dilakukan. Kaedah menabur biji benih atau menanam anak pokok padi secara manual tidak lagi digunakan. Mencedung bermaksud benih padi disemai terlebih dahulu di tapak semaian. Apabila anak padi mencapai tahap sesuai, ia ditanam menggunakan jentera.

Dr Muhamad Shakirin tidak menafikan isu bekalan beras negara kerap menjadi perhatian utama. Terbaharu, kekurangan beras dan kenaikan harga beras import disebabkan keputusan 18 negara menghalang atau mengehad eksport beras.

Dengan lebih 30 peratus keperluan beras Malaysia diimport, negara terdedah kepada risiko ketergantungan yang boleh membawa kepada krisis makanan dalam jangka masa terdekat. Justeru, penting untuk mencapai 100 peratus SSL bagi bekalan beras.

“Meskipun Sekinchan berjaya membuktikan mereka mampu menghasilkan hasil padi yang tinggi, kejayaan mereka masih belum tersebar ke kawasan lain di Selangor seperti di Sawah Sempadan.

“Kerajaan boleh menumpukan kepada kawasan ini supaya ekosistem Sekinchan berkembang dan bukan tertumpu kepada satu titik kelompok sahaja,” kata Dr Muhamad Shakirin yang pernah membentang hasil kajian di Amerika Syarikat, Jepun, China dan United Kingdom.

Beliau juga menggesa supaya disiplin tanaman padi Sekinchan diperluas ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor. Usaha boleh dijalankan melalui galakan kepada pesawah muda serta memperkenal teknologi pertanian terkini.

“Saya sentiasa percaya jika semua kawasan penanaman padi negara diusahakan dengan berkesan, penghasilan padi negara mampu mencapai 100 peratus tahap SSL.

“Pada masa sekarang, Sekinchan mampu mencapai penghasilan 12 tan per hektar ketika purata hasil negara empat tan per hektar. Jika purata ini ditingkat kepada lapan tan menggunakan kaedah dan teknologi dari Sekinchan, saya yakin 100 peratus SSL dapat dimateri,” tegasnya.


Pengarang :