Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 10 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Pelajar sekolah antara 4,509 individu ditahan dalam Op Tapis Khas

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Seramai 4,509 individu termasuk penjawat awam dan pelajar sekolah, ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan di seluruh negara dari 10 hingga 12 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam operasi itu, polis turut merampas 129.83 kilogram (kg) dan 492.26 liter pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM1,707,346.66.

Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya menggempur kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), sekatan jalan raya dan perkampungan nelayan.

“Sepanjang operasi ini dijalankan 5,014 orang diperiksa dan kesemua 4,509 yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 70 tahun. Mereka yang ditahan terdiri daripada 482 orang tokan termasuk masing-masing seorang penjawat awam dan pelajar, serta 2,232 penagih termasuk empat penjawat awam dan tiga pelajar.

“Selain itu, 195 individu merupakan orang yang dikehendaki atas pelbagai kesalahan dadah, manakala 1,600 orang termasuk tujuh pelajar ditahan atas lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata JSJN Bukit Aman, turut menyita pelbagai aset termasuk wang tunai, kenderaan, barangan kemas dan jam tangan, yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM1,103,559.

Beliau berkata semua yang ditahan itu disiasat mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Secara keseluruhan Op Tapis Khas yang dijalankan sejak Januari hingga Oktober tahun ini, 17,147 individu ditahan serta merampas 2,434.27kg dan 4,460.14 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM23,911,348.6.

“Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :