EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi bergambar bersama tetamu jemputan dan wakil pemanah sekolah selepas perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Persediaan atlet SUKMA diharap antara inti pati Belanjawan Selangor 2024

HULU LANGAT, 18 OKT: Belanjawan Selangor 2024 yang dijadual dibentang bulan depan diharap memfokuskan aspek pembangunan sukan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA).

EXCO belia dan sukan berkata pihaknya mengharapkan pertambahan peruntukan berbanding belanjawan tahun sebelumnya bagi memastikan program latihan serta persediaan atlet dapat diperkemaskan.

“Sudah tentu kita mahu agenda sukan dirancakkan. Diharap Belanjawan 2024 dapat kaji keperluan perbelanjaan khususnya dalam memastikan program latihan atlet SUKMA dapat diperkemaskan serta diperkuatkan.

“Untuk sasaran SUKMA, pastinya kita mahu juara keseluruhan. Kali terakhir kita jadi juara SUKMA di Sarawak pada 2016, iaitu tujuh tahun lepas. Pada SUKMA tahun depan, kita harap dapat cipta rekod yang sama dan mendapat lebih banyak pingat,” kata Najwan Halimi

Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Memanah Negeri Selangor di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian di sini, hari ini.

Berhubung program berkaitan belia, Najwan berkata pihaknya sudah mempunyai perancangan untuk menggerakkan agenda melibatkan golongan tersebut pada tahun depan.

“Selain sukan, agenda pembangunan belia di peringkat negeri menjadi antara tumpuan kita. Usaha ini perlu seiring dengan agenda pembangunan belia di peringkat persekutuan antaranya meremajakan semula program Rakan Muda.

“Kita mahu membantu daripada segi promosi, pendekatan dan pengisian supaya dasar yang kerajaan pusat umumkan tidak hanya tinggal dasar. Adalah menjadi tanggungjawab kita di peringkat negeri untuk merealisasikan semua usaha ini,” katanya.

Belanjawan negeri 2023 memperuntuk RM2.24 juta bagi meneruskan projek membaik pulih dan membina baharu infrastruktur sukan di Selangor.

Usaha itu selaras memartabat aspek pembangunan sukan dan aktiviti sihat sekali gus melahirkan generasi muda yang aktif serta berdaya saing.

EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi melakukan gimik perasmian Pusat Kecemerlangan Sukan Memanah Selangor di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian, Kajang pada 18 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :