Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor bersama Peneraju Projek Mekar Juwairiya Zulkifli melihat lokasi pemasangan mesin Mekar selepas majlis Perasmian Projek Mekar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, Gombak pada 18 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGAMABERITA UTAMANASIONAL

Cakna kebajikan mangsa bencana, MBI sedia dana khas salur bantuan

GOMBAK, 18 OKT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mempunyai peruntukan khusus untuk menyalurkan bantuan makanan dan bekalan asas kepada mangsa bencana.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan terutama pada musim hujan yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

“MBI memberi tumpuan persediaan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi. Belajar dari kejadian banjir tahun 2021, MBI sentiasa bersedia untuk membantu serta menyediakan keperluan mangsa bencana seperti bekalan makanan, air mineral, selimut dan toto.

“Saya juga difahamkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah menetapkan jumlah peruntukan sebagai persediaan hadapi banjir yang akan diumumkan Dato’ Menteri Besar tidak lama lagi,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Projek Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor (Mekar) Mekar 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kertas, Batu Caves, di sini hari ini.

Ahmad Azri berkata, anak syarikat Kerajaan Negeri itu komited untuk menjaga kebajikan rakyat terutama menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban mangsa bencana.

“Sebagai contoh pada September lalu, MBI memperuntukkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana ribut di tiga buah kampung di mukim Beranang.

“Bantuan merangkumi keperluan asas, bekalan makanan, gantian bumbung dan beberapa keperluan lain,” katanya.

Selain bantuan bencana, MBI turut berbelanja besar untuk sektor pendidikan, program komuniti, masjid, surau, insentif kepada jemaah haji dan sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) menyampaikan bantuan makanan asas kepada mangsa terjejas ribut di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Kajang pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pengarang :