Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah, di Riyadh pada 21 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Putera Mahkota Mohammed terima menghadap Anwar, bincang perang Palestin-Israel

RIYADH, 21 OKT: Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Al-Yamamah di sini pada Sabtu.

Pertemuan rasmi empat mata itu adalah atas jemputan peribadi baginda kepada Anwar, selepas Arab Saudi menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di ibu negara ini pada Jumaat.

Putera Mahkota Mohammed dan Anwar membincangkan mengenai perang Palestin dan Israel yang berlanjutan sehingga kini setelah tercetus semula pada 7 Oktober.

Pada sidang kemuncak itu, Putera Mahkota dan Anwar senada dalam membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kezaliman dan penindasan Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.

Pada pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin berkenaan turut membincangkan beberapa isu berkaitan kepentingan bersama termasuk peluang pembangunan kedua-dua negara.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, lawatan kerja dua hari Anwar yang juga Menteri Kewangan menyaksi beliau meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala serta ekonomi antara Malaysia dan Arab Saudi.

Pada 5 Oktober lepas, Anwar menerima panggilan telefon daripada Putera Mahkota Mohammed yang menjemput beliau untuk mengadakan lawatan ke Arab Saudi.

— BERNAMA


Pengarang :