Sebahagian aksi Harimau Malaya ketika bertemu Tajikistan pada final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 18 Oktober 2023. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Tajikistan ranap impian Malaysia julang trofi Pestabola Merdeka

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Impian Harimau Malaya untuk mendakap gelaran ke-13 Pestabola Merdeka punah apabila tewas 0-2 kepada Tajikistan pada final edisi 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Tajikistan, pasukan ranking ke-110 dunia, menghampakan Malaysia buat kali kedua selepas final Piala Raja Thai, di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.

Jaringan penyerang, Soirov Rustam serta pemain gantian Samiev Shahrom, masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua perlawanan yang disaksikan 36,558 penonton itu membantu Tajikistan meraih kejuaraan dalam penampilan pertama mereka pada kejohanan jemputan tersebut.

Walaupun Malaysia bermula baik di awal permainan, namun hantaran kurang tepat ke bahagian serangan mudah dipatahkan benteng pertahanan lawan sebelum Tajikistan melaungkan amaran awal dengan percubaan pemain sayap,Shukurov Alisher diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-15.

Malaysia yang terus mengatur serangan memperoleh peluang mendahului pelawat sebelum sepakan jarak jauh pemain tengah, Brendan Gan pada minit ke-27 disusuli percubaan lemah pemain sayap sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-32, dinafikan penjaga gol Tajikistan, Barotov Daler.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan negara yang gagal merantai pergerakan penyerang Soirov mengundang padah apabila beliau mudah melepaskan sepakan kaki kanan pada minit ke-44 untuk meletakkan mereka di depan.

Tersentak dengan jaringan pembukaan lawan, Malaysia yang cuba menyamakan kedudukan nyaris merobek gawang lawan namun tandukan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies, yang menyambut sepakan percuma Muhammad Safawi Rashid, ditepis Barotov pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon membuat dua pertukaran bagi mengasah taring pasukannya dengan memasukkan Muhammad Azam Azmi Murad dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid menggantikan Davies dan Arif Aiman.

Barotov sekali lagi menghampakan Malaysia dengan menafikan sepakan dari sebelah kiri oleh Muhammad Akhyar pada minit ke-54.

Selang lima minit kemudian, Malaysia sekali lagi kecewa apabila tandukan pemain pertahanan kiri Corbin Ong, hasil umpanan tonggak tengah Endrick Dos Santos, sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol skuad kendalian Petar Segrt.

Harimau Malaya terus buntu apabila tandukan penyerang Darren Lok, berpunca daripada sepakan penjuru sebelah kanan oleh Dos Santos, kurang tepat pada minit ke-72 manakala percubaan leret tonggak sayap Mohamad Faisal Abdul Halim pula singgah di tiang kiri pintu gol lawan pada minit ke-76.

Usaha berterusan Malaysia untuk kembali ke dalam permainan di hujung permainan berakhir dengan sia-sia apabila percubaan Mohamad Faisal diselamatkan Barotov pada minit ke-86 sebelum pemain gantian Samiev mengesahkan kejuaraan sulung mereka dengan jaringan pada minit ke-88.

Kejayaan diraih Tajikistan itu unia itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan Malaysia, yang menghuni ranking ke-134, sejak tewas kali terakhir dalam separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di tangan Thailand, 0-3, Januari lepas.

– BERNAMA


Pengarang :