Lima pemenang utama Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) bergambar bersama cek cura masing-masing di Menara PNS Bangsar South, Kuala Lumpur pada 1 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lima syarikat PKS juarai program e-dagang Sidec, bawa pulang RM25,000

Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Lima syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dinobat sebagai pemenang program Selangor E-Commerce Xccelerator 2023 (ECX23) kohort pertama anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Berlangsung di Menara PNS di sini, kelima-lima pemenang Nori Malaysia Sdn Bhd, Pastels Group Sdn Bhd, Shapee Trading & Distribution (M) Sdn Bhd, Sonobee Ultrasound Sdn Bhd dan Big Bath Sdn Bhd masing-masing menerima RM25,000 merangkumi wang tunai RM3,000 dan lawatan perniagaan ke Hangzhou, China.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.

Sze Han ketika ditemui berkata program tersebut merupakan landasan terbaik kepada syarikat PKS untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi menerusi platform e-dagang.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han ketika ditemui media selepas majlis penutup Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) di Menara PNS Bangsar South, Kuala Lumpur pada 1 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Mereka ini bukan sahaja menang wang tunai tetapi berpeluang melawat peneraju perniagaan e-dagang, Alibaba. Ini sekali gus menjadi platform kepada mereka mengembangkan jaringan perniagaan.

“Malah, penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa Selangor kekal berada di hadapan dalam mentranformasi perniagaan digital,” katanya.

Beliau turut berharap, syarikat terpilih ke lawatan perniagaan dapat memanfaatkan peluang untuk mengumpul ilmu untuk mempraktikkan sekali gus memajukan lagi ekonomi digital di Selangor.

Sementara itu, Pengasas Pastels Group Sdn Bhd Sarini Zainal Abidin menyifatkan penyertaan syarikatnya dalam program pembentangan perniagaan kali pertama itu sebagai sangat berharga.

Pengasas Pastels Group Sdn Bhd Sarini Zainal Abidin pemenang utama Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX23) di Menara PNS Bangsar South pada 1 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Syarikat saya menghasilkan produk kecantikan yang memfokuskan harga mampu milik tetapi selamat digunakan dan mengikut kehendak kulit semua lapisan masyarakat.

“Apabila mendapat pengalaman ini, saya tidak melepaskan peluang kerana menjadi platform untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global,” katanya.

Program ECX23 kohort pertama merupakan inisiatif Sidec berlangsung selama tiga bulan bermula Ogos dan menyediakan bengkel komprehensif.

Merupakan kesinambungan Anugerah Usahawan E-Dagang Terbaik Malaysia (Top ECM), program tersebut kerjasama bersama Affin Bank dan Invest Selangor Berhad dengan kerjasama rakan strategik Lazada, Pos Malaysia, EasyStore, dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).


Pengarang :