Suasana di bilik asrama Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midland yang menempatkan murid dari keluarga berpendapatan rendah dengan kemudahan selesa dan diberikan makanan percuma ketika tinjauan pada 3 November 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Asrama percuma elak murid susah tercicir pelajaran

SHAH ALAM, 14 NOV: Dulu, sekolah Tamil di Seksyen 7, Shah Alam sangat daif. Terdiri daripada dua rumah papan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midland yang wujud sejak 1908 tidak diendah.

Namun, Kerajaan Selangor, setahun selepas perubahan tampuk pentadbiran pada 2008, menyerahkan empat ekar tanah kepada pengurusan sekolah itu. Bangunan dimodenkan, lengkap pelbagai prasarana.

Pada 2018 pula, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghulur dana RM4 juta bagi menyediakan kemudahan asrama selaras hasrat untuk menjadikannya sebagai sekolah contoh.

Menurut Pengurus Lembaga Pengelolanya Uthaya Soorian, penempatan itu membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah menginap di situ seterusnya mengelak isu keciciran pendidikan.

Beliau giat bekerjasama dengan Majlis Guru-Guru Besar Sekolah Tamil Selangor bagi mencari murid kurang berkemampuan untuk ditempatkan ke asrama yang ditanggung sepenuhnya itu.

Pengurus Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midland Uthaya Soorian ditemu bual Media Selangor di Shah Alam pada3 November 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Mereka ini susah pergi sekolah sekali gus berisiko terlibat dalam gejala gengsterisme. Jadi, kami bawa mereka ke asrama,” katanya kepada Selangorkini pada 3 November sempena sambutan Deepavali.

Di asrama tersebut, para murid yang diberi penginapan dan makanan percuma sentiasa dipantau sepenuhnya. Warden juga ditempatkan bagi mengawal tingkah laku mereka.

Di situ, kelas tambahan disediakan bagi memperbaiki mutu pelajaran mereka. Mereka diharapkan berupaya meningkatkan taraf kehidupan seterusnya berpeluang keluar dari belenggu kemiskinan melalui pendidikan.

Asrama bersih

Tinjauan mendapati persekitaran asrama senantiasa bersih. Mampu memuatkan 200 murid, tingkat satu dilengkapi dobi. Warden turut ringan tulang membantu murid darjah empat dan lima mencuci dan menyidai pakaian.

Sebenarnya, pengurusan sekolah menerima lebih 100 permohonan tetapi hanya 15 murid diterima masuk sejak bulan lalu ke bangunan yang siap sepenuhnya pada 2020 tetapi tidak beroperasi akibat wabak Covid-19.

Selain itu, kemasukan ke asrama itu pula dibuat secara berperingkat supaya murid mudah dipantau secara rapi sekali gus matlamat melahirkan pelajar cemerlang bukan sekadar impian kosong.

“Ada juga keluarga kaya hendak hantar anak mereka masuk asrama ini. Memang tidak boleh. Kami terima murid yang (dari kalangan keluarga) susah sahaja,” kata Uthaya.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midland dari keluarga berpendapatan rendah mengikuti pelajaran ketika tinjauan Media Selangor pada 3 November 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang prihatin terhadap pengurusan sekolah tersebut. Tahun ini, sebanyak RM300,000 diberi bagi membantu pengurusan asrama.

Selain SJKT Ladang Midland, pentadbiran Amirudin juga menyediakan dana RM6 juta kepada SJKT seluruh negeri bagi membaik pulih kemudahan sekali gus membantu mutu pendidikan kaum India.

“Kerajaan Negeri tidak mahu ada generasi muda tertinggal dalam pembangunan negara walaupun terdapat kriteria kaum dalam beberapa aspek seperti faktor ekonomi dan strata sosial.

“Pendidikan adalah medium utama untuk mengubah nasib serta menentukan hala tuju masyarakat pada masa hadapan.

“Setiap kelompok berdepan isu tertentu. Saya berharap isu yang melingkari masyarakat India dapat ditangani melalui pendidikan,” kata Amirudin pada 9 Oktober 2019.

 


Pengarang :