Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderhati kepada sukrelawan ketika sesi Hi-Tea Kursus Kesiagaan Skuad Bencana Team Selangor di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Team Selangor sasar 2,000 ahli sertai APM, siap siaga hadapi bencana

SHAH ALAM, 5 NOV: Team Selangor menyasar 2,000 ahlinya menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai persediaan menghadapi situasi bencana di negeri ini.

Ketua Operasi Team Selangor Sadina Suffian berkata nilai tambah itu membolehkan sukarelawan pasukan berkenaan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di peringkat awal.

Ketua Operasi Team Selangor Sadina Suffian bercakap kepada media selepas Sesi Hi-Tea Kursus Kesiagaan Skuad Bencana Team Selangor di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sekarang ini kita ada sekitar 25,000 ahli di seluruh Selangor dan kita berharap dapat tambah 2,000 daripadanya untuk menyertai APM pada masa akan datang.

“Mereka akan diberi pelbagai kemahiran dan tahu selok-belok menghadapi bencana. Dengan ilmu yang ada, kita harap kualiti kerja sukarelawan akan bertambah baik,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada program minum petang sempena Kursus Kesiagaan Skuad Bencana Team Selangor yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar di Dewan Azalea, Seksyen 25 di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sesi Hi-Tea Kursus Kesiagaan Skuad Bencana Team Selangor di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam majlis itu, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan nombor badan APM kepada 50 sukarelawan Team Selangor yang tamat kursus bersama pasukan keselamatan itu.

Team Selangor yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu antara pasukan sukarelawan yang sering tampil membantu penduduk negeri ini dalam kesusahan.

Antara khidmat mereka termasuk bertugas di pusat vaksin negeri, membersihkan kediaman mangsa banjir selain menjalankan aktiviti gotong-royong bagi mengajak masyarakat memulihara alam sekitar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama sukarelawan selepas sesi Hi-Tea Kursus Kesiagaan Skuad Bencana Team Selangor di Taman Seri Muda, Shah Alam pada 4 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :