Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan baucar kepada penerima ketika majlis perasmian Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Penyerahan E-Baucar Buku Kepada Mahasiswa Selangor 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Tekad Kita Selangor: 5 janji ditunai, 1,000 mahasiswa terima e-baucar buku

HULU LANGAT, 6 NOV: Satu lagi tawaran Tekad Kita Selangor dipenuhi Kerajaan Negeri hari ini menjadikan lima janji penting selesai dilunaskan dalam tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Selangor.

Tawaran itu ialah bantuan e-baucar mahasiswa buku Kita Selangor dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini yang bakal memanfaatkan 1,000 mahasiswa dengan peruntukan keseluruhan RM200,000.

Menerusinya, 1,000 mahasiswa anak Selangor yang menuntut di insitutsi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menerima e-baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Inisiatif ini antaranya mahu membentuk masyarakat yang terbina dengan ilmu pengetahuan. Tahun depan insya-Allah akan diteruskan lagi dengan jumlah lebih ramai,” kata Amirudin ketika berucap menyempurnakan Tekad Pendidikan Kita Selangor: Penyerahan e-Baucar Buku Mahasiswa 2023 di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan baucar kepada penerima ketika majlis perasmian Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Penyerahan E-Baucar Buku Kepada Mahasiswa Selangor 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 6 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Inisiatif ini memberi manfaat kepada 1,000 mahasiswa yang menuntut di sembilan IPTA dan IPTS iaitu Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu UKM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU).

Mahasiswa yang layak boleh menebus e-baucar dan membuat pembelian buku secara digital menerusi pautan https://mall.bookcapital.com.my/ milik Perbadanan Kota Buku (agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia) dan penebusan e-baucar adalah terhad sehingga 31 Disember ini.

Empat janji dalam Tekad Kita Selangor sudah dilaksana pentadbiran ini merangkumi insentif RM1,000 bagi penjagaan anak (MamaKerja) yang bakal memanfaatkan 5,000 wanita seluruh negeri.

Selain itu, pengecualian cukai taksiran 426,656 rumah kos rendah dan kampung untuk penggal kedua tahun ini melibatkan implikasi kewangan RM29.415 juta.

Tawaran lain bayaran kepada 760 imam negeri ini ditingkatkan sebanyak RM200 kepada RM1,500 manakala elaun bagi 1,900 nazir, bilal, dan siak juga dinaikkan RM50 sebulan kepada RM300 (nazir), RM340 (bilal) serta RM290 (siak).

Ia termasuk insentif RM1,000 kepada 500 golongan petani dan nelayan berbentuk RM500 tunai manakala baki menerusi input peralatan.


Pengarang :