Pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi penguatkuasaan negeri mengesan pencemaran di Sungai Kecil Kampung Rinching, Kajang pada 31 Oktober 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS elak pencemaran sungai Kampung Rinching

SHAH ALAM, 1 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi penguatkuasaan negeri bertindak segera mengesan dan menghentikan pencemaran di Sungai Kecil Kampung Rinching, Kajang semalam.

EXCO alam sekitar berkata LUAS menerima maklumat berkenaan air berwarna putih, berbuih serta berbau dikesan sekitar jam 11 pagi di sungai berkenaan.

Jelas Jamaliah Jamaluddin siasatan mendapati insiden itu disebabkan pelepasan efluen berbuih daripada premis pemprosesan makanan dari titik pelepasan akhir ke dalam longkang berhampiran.

“Ia berdasarkan kesan buih berwarna putih dijumpai di parit luar kawasan premis yang berbau seakan-akan rebusan cendawan.

“Selepas premis diarah menghentikan sebarang aktiviti menggunakan air dan pelepasan efluen, semakan lanjut mendapati keadaan air sungai kembali normal dan tiada kesan berwarna putih serta berbuih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah turut memaklumkan tindakan pantas juga berjaya mengelak risiko terhadap operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih berjarak 15 kilometer dari kawasan insiden.

“Pensampelan dilakukan LUAS di titik akhir pelepasan di dalam dan luar premis berkenaan seterusnya dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut.

“LUAS membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika disabitkan.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar juga mengeluarkan arahan henti kerja kepada premis terlibat,” katanya.


Pengarang :