Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang memasang pita kuning di pintu masuk sebuah bengkel yang beroperasi secara haram di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
PBTSELANGOR

Empat bengkel haram di Pelabuhan Klang disita, terima arahan roboh struktur

SHAH ALAM, 8 DIS: Padah beroperasi tanpa lesen perniagaan, empat bengkel kenderaan sekitar Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang disita oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan kesemua premis berkenaan turut tidak memiliki Kebenaran Merancang dan kelulusan struktur bangunan.

“Empat premis itu antaranya adalah bengkel membaiki kenderaan, mengecat kenderaan dan premis menyimpan kenderaan berat. Kesemuanya tidak mempunyai lesen daripada MPK.

“Tindakan penutupan empat premis itu kerana beroperasi tanpa lesen dibawah Seksyen 101 (1) (V) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya menerusi Facebook.

Menurut MPK, Jabatan Perancang Bandar dan Desa turut mengeluarkan notis berhenti serta memulihkan tapak kepada keadaan asal mengikut Seksyen 19 Akta Perancang Bandar dan Desa.

“Jabatan Bangunan telah mengeluarkan notis untuk merobohkan struktur tanpa kelulusan di bawah Seksyen 70 (Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974) kerana tidak mempunyai Kebenaran Merancang,” katanya.


Pengarang :