Orang ramai melihat koleksi buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) di Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 2 Disember 2023.. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buku riwayat Rasulullah, Saidina Umar antara naskhah paling popular 

SHAH ALAM, 8 DIS: Buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal kekal naskhah paling laris di reruai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) setakat tujuh hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Buku tulisan asal Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin yang meraih anugerah pada peringkat antarabangsa dan diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dianggap biografi terbaik Rasulullah SAW.

Karya berjudul Umar Al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang terjemahan daripada teks Arab bertajuk ‘Abqariah Umar pula buku kedua popular selama enam hari sejak acara berkenaan berlangsung pada 1 Disember.

Karangan cendekiawan Mesir Abbas Mahmud al-‘Aqqad yang diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor memuatkan banyak kisah menarik termasuk sisi peribadi sahabat nabi yang boleh diteladani pembaca.

Naskhah Gelagat dan Ragam Orang Melayu karya Frank Swettenham turut tersenarai antara lima buku terlaris selama lima hari program berkenaan yang dijadual berakhir pada Ahad ini.

Terjemahan judul asal Malay Sketches terbitan IBDE dengan kerjasama Media Selangor menarik minat pengunjung yang mahu mendapatkan gambaran pandangan bekas pegawai kolonial British itu.

Sebahagian karya terjemahan penting dan menarik bawah Siri Pencerahan Selangor yang digerakkan Inisiatif Buku Darul Ehsan. Grafik Selangorkini

Karya terbaharu IBDE berjudul Perempuan Seribu Satu Malam setebal 252 halaman yang memuatkan empat kisah terkenal daripada Hikayat Seribu Satu Malam iaitu Aladin dan Pelita Ajaib; Judar dan Abang-abangnya; Abukir dan Abusir dan Tukang Emas Berahi turut meraih tumpuan ramai pada hari pertama pesta itu.

Semua karya tersebut boleh diperoleh di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.

 


Pengarang :