Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (dua, kanan) bersama Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) ketika sesi Tanya Apa Saja bersama isteri Menteri Besar pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peserta Selangor Fellowship Antarabangsa terjemah buku enam negara

SHAH ALAM, 6 DIS: Program Selangor Fellowship Antarabangsa yang diperkenal tahun lalu menerusi platform Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) dalam usaha menterjemah buku daripada enam negara.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata fasa baharu terjemahan buku itu dipersetujui negara yang menyertai program itu termasuk Malaysia.

“Buat julung kali, peserta dari negara terlibat program fellowship bersetuju menterjemah buku mereka. Antara negara yang menyertai program ini ialah Malaysia, Turkiye, Korea Selatan, Australia, Nepal dan Indonesia.

“Ini merupakan peluang cerah untuk penulis dan penerbit daripada negara terlibat program menterjemah buku-buku berkualiti dan akan dijadikan sebagai projek rintis PPAS.

Pengunjung memilih buku di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Malah ia memberi ruang kepada penulis muda percaya dengan diri sendiri untuk mengasah bakat bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi luar negara,” katanya.

Beliau ditemui ketika sesi Tanya Apa Saja bersama Datin Seri Masdiana Muhamad pada SIBS semalam.

Tahun lalu, PPAS memperkenalkan dua program baharu sempena SIBF 2022 membabitkan program Selangor Fellowship Antarabangsa dan Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah.

SIBF julung kali dianjurkan tahun lalu susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.

Sejak dianjurkan pada 2006, pesta buku itu bermula di Kompleks PKNS dan kemudian bertukar ke Pusat Konvensyen MBSA yang merekod hampir lima juta pengunjung.


Pengarang :