Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan hadir bacaan Yasin, solat Jumaat sempena Hari Keputeraan ke-78

SHAH ALAM, 8 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan ke majlis bacaan Yasin sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-78.

Baginda bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang tiba jam 12.15 tengah hari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turut menunaikan solat Jumaat.

Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO negeri Ir Izham Hashim, Dr Fahmi Ngah, Najwan Halimi, Datuk Rizam Ismail dan Borhan Aman Shah.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan solat Jumaat sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-78 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar dan Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim turut serta dalam majlis yang dipimpin Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir.

Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya kemudian membacakan khutbah bertajuk “Penjaga Kemuliaan Agama Islam” yang menekankan peranan Sultan sebagai ketua hal ehwal Islam.

“DYMM Sultan Selangor sangat prihatin dengan prinsip-prinsip Islam dan memimpin dengan penuh pertimbangan, kesaksamaan dan adil kepada semua rakyat.

“Baginda turut menegaskan kalimah Allah tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam,” menurut khutbah itu.

Baginda turut bersalaman dengan jemaah lain sebelum meninggalkan masjid sekitar jam 2.10 petang.


Pengarang :