Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Tokyo untuk lawatan kerja lima hari bermula 16 Disember 2023. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PM bertemu dengan eksekutif utama Toshiba, Mitsui dalam lawatan kerja di Tokyo

TOKYO, 16 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Tokyo pada Jumaat untuk lawatan kerja lima hari, akan mengadakan mesyuarat bersama rakan sejawat Fumio Kishida, di pejabat beliau kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu.

Jadual pergerakan yang dikongsikan Pejabat Perdana Menteri dengan media Malaysia di sini menunjukkan jadual yang padat menanti Anwar, bermula dengan mesyuarat pre-council bersama delegasi Malaysia pada 10 pagi di Hotel Imperial Tokyo di sini, sebelum bertemu Kishida.

Selepas mesyuarat dua hala itu, Anwar dan Kishida dijadualkan untuk menyaksikan Pertukaran Nota Pelaksanaan bagi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan dan Memorandum Kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas, antara kedua-dua negara.

Anwar dan delegasi akan bergerak semula ke hotel yang sama pada 12.30 tengah hari, untuk makan tengah hari bersama Pengerusi Kehormat Sasakawa Peace Foundation Tan Sri Sasakawa Yohei.

Selepas itu pada 2.30 petang, beliau akan mengadakan pertemuan bersama eksekutif utama tiga syarikat multinasional Jepun iaitu Rohm Wako, Toshiba dan Mitsui & Co. Ia diikuti dengan mesyuarat meja bulat bersama peneraju industri di Jepun pada 4.15 petang.

Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seterusnya dijadualkan menghadiri majlis makan malam pada 7 petang dihoskan oleh Kishida dan isterinya Yuko di Geihinkan, State Guesthouse Akasaka Palace.

Pada majlis makan malam itu, Anwar akan turut disertai dua menteri kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

– BERNAMA


Pengarang :