AGENDAJENAYAH

100 warga asing ditahan dalam serbuan di kilang kitar semula

SHAH ALAM, 6 JAN: Kira-kira 100 warga asing termasuk empat wanita ditahan dalam serbuan di sebuah kilang kitar semula memproses barangan terpakai di Kampung Jalan Kebun, di sini semalam.

Ketua Penolong Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata dalam serbuan 5 petang itu, seorang remaja warga Myanmar disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan.

“Satu tangkapan dibuat membabitkan lelaki tempatan berusia 60 tahun dipercayai pemilik tanah yang menyewakan kepada warga China untuk operasi kilang memproses barangan terpakai komponen elektronik.

“Siasatan awal mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai beroperasi lebih setahun,” katanya dalam kenyataan.

Soffian berkata semua yang ditahan berusia 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 61 warga Bangladesh, warga China (19), Myanmar (10), Nepal (dua) dan Kemboja (lapan).

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

– BERNAMA


Pengarang :