AGENDAJENAYAH

Tiga lelaki direman bantu siasatan kes ceroboh kediaman rasmi MB

SHAH ALAM, 6 JAN: Tiga lelaki direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes menceroboh masuk kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek berusia 31 hingga 35 tahun itu ditahan pada 7.30 malam semalam bersama rampasan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Mohd Iqbal berkata sebelum itu pihaknya menerima laporan kejadian pada 6.10 petang yang dibuat Pembantu Operasi di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

“Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja untuk memasuki kediaman rasmi Menteri Besar Selangor melalui pondok pos pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak Kerajaaan Negeri.

“Bertindak atas maklumat, pada 7.30 malam (semalam) tangkapan ke atas kesemua suspek dibuat bersama rampasan sebuah kenderaan jenis Proton Waja digunakan suspek.

“Suspek adalah tiga lelaki bekerja sebagai pengamal media di sebuah (agensi) media tempatan dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut katanya semua suspek memberi alasan masuk ke kediaman itu bagi menghadiri satu mesyuarat tetapi tidak mempunyai jemputan rasmi daripada pihak Menteri Besar Selangor.

“Kesemua tangkapan telah dibenarkan reman selama dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihat sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh hubungi Pegawai Penyiasat Insp. Mira Noraien Norashid di talian 011-11430765,” katanya.


Pengarang :