Sebahagian penerima Program Bantuan Masuk Sekolah untuk ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) bergambar bersama selepas menerima bantuan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru pada 13 Januari 2024. Foto Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

1,400 ahli Tawas DUN Meru terima bantuan kelengkapan sekolah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KLANG, 13 JAN: Seramai 1,400 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di Dewan undangan Negeri (DUN) Meru yang akan memasuki darjah satu tahun ini menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah.

Pegawai Iltizam Selangor Penyayang Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Meru S Sunthar berkata program tersebut digunakan pihaknya untuk mendekati penduduk Meru.

“Kita harap ibu bapa dapat datang hari ini namun memahami ada yang bekerja atau menghadapi masalah lain.

“Jadi mereka yang tidak berkesempatan boleh datang mengambil bantuan di PKM Meru sebelum sesi persekolahan bermula,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan serahan bantuan yang meliputi beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung yang berlangsung di PKM DUN tersebut di sini hari ini.

Khalijah Debab dan anaknya Asy Syifa Naura Saleh

Seorang ibu, Khalijah Debab, 38, berkata walaupun bukan kali pertama menerima bantuan tersebut, beliau bersyukur kerana lima daripada lapan anak-anaknya adalah ahli Tawas.

“Bermula daripada anak ketiga sehingga sekarang anak ketujuh, kami menggunakan beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung daripada Tawas.

“Alhamdulillah ia dipakai anak-anak saya sepanjang sesi persekolahan untuk tahun satu,” kata ibu kepada Asy Syifa Naura Saleh, 7.

R Vasanthi dan anaknya P Suvanthini

Bagi R Vasanthi, 47, pula ini adalah kali pertama beliau menerima bantuan itu untuk anaknya, P Suvanthini,7.

“Dua anak saya sudah besar dan yang bongsu ini sahaja saya sempat daftarkan sebagai ahli Tawas.

“Bertuah jadi anak Selangor. Pelbagai bantuan diberikan Kerajaan Negeri dan saya sangat bersyukur sekurang-kurangnya persediaan memasuki sesi persekolahan Mac ini hampir siap sepenuhnya,” katanya.

Manakala Khudtrul Nada Abdullah, 31, berkata bantuan yang diterima anak keduanya itu dapat meringankan bebanan keluarga yang bakal menerima ahli baharu bulan ini.

“Alhamdulillah dapat set lengkap beg sekolah dan alat tulis. Anak saya cukup gembira dan tidak sabar untuk memakainya pada sesi persekolahan nanti.

“Terima kasih Kerajaan Selangor atas keprihatinan bagi meringankan beban rakyat seperti kami,” katanya.


Pengarang :