Penduduk setempat Mohd Zulkurnain Tengku Man, 58, melihat serpihan kayu rumahnya yang rosak selepas ditimpa arus deras dalam kejadian banjir besar ketika tinjauan di Kampung Shukor, Dungun pada 26 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

2,276 mangsa bah empat negeri masih berteduh di 23 PPS

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor menurun kepada 2,276 orang di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari tadi, berbanding 2,953 orang di 38 PPS pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Terengganu, sebanyak 1,191 mangsa ditempatkan di 10 PPS di Dungun, dua PPS di Besut (22 mangsa) dan satu PPS di Hulu Terengganu (15 mangsa).

Di Kelantan, tiga PPS di Tanah Merah menempatkan 272 mangsa, dua PPS di Kuala Krai (32 mangsa) dan satu PPS di Pasir Puteh (28 mangsa) manakala di Pahang, masing-masing satu PPS beroperasi di Kuantan yang menempatkan 468 mangsa dan Rompin dengan 22 mangsa.

Di Johor, situasi banjir tidak berubah apabila 197 mangsa masih berlindung di satu PPS di Mersing dan 29 lagi di satu PPS di Kota Tinggi.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang dan Mersing, Sungai Punggai, Sungai Johor dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Pahang di Kuantan dan Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 42 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Trolak Selatan di Batang Padang, Perak, Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor.

— BERNAMA


Pengarang :