Anggota polis trafik Kuala Lumpur memeriksa penunggang motosikal yang melakukan kesalahan sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur pada 1 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

84 individu ditahan, 6,297 saman dikeluarkan dalam operasi ambang tahun baharu

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Seramai 84 individu ditahan dan 6,297 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dalam 137 operasi ambang tahun baharu di seluruh negara pada 31 Disember dan 1 Januari.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata daripada jumlah itu 52 individu disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 24 ditahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan lapan lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata daripada jumlah saman yang dikeluarkan, kesalahan tidak memaparkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi merekodkan paling tinggi dengan 1,788 saman selain kesalahan tidak memiliki lesen memandu 1,422 saman.

“Operasi yang berakhir 5 pagi itu turut menyita 366 kenderaan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Operasi itu melibatkan 4,378 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.

– BERNAMA


Pengarang :