Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat (tiga, kiri) ketika hadir pada majlis perhimpunan penjawat awam sempena Program Merdeka MADANI Ceupacs 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 18 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Cuepacs harap ada ruang bincang isu pencen penjawat awam

KUALA NERUS, 28 JAN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap masih terdapat ruang perbincangan antara pihaknya dengan kerajaan sebelum dasar baharu pengambilan penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen, dilaksanakan.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata Cuepacs berpendirian sistem persaraan yang ada ketika ini merupakan yang terbaik serta bersesuaian dengan kedudukan gaji penjawat awam bagi mereka meneruskan kehidupan pada hari tua nanti.

“Jika kerajaan ingin membuat suatu keputusan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) termasuk memansuhkan sistem pencen ini, kerajaan perlu meningkatkan gaji yang lebih besar supaya kami mampu mencarum (dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan mampu berbelanja serta menyimpan untuk hari tua,” katanya kepada pemberita pada Majlis Solidariti Cuepacs Zon Timur Bersama Presiden Cuepacs di sini malam tadi.

Adnan berkata gaji yang diterima penjawat awam kini disifatkannya “cukup-cukup makan” sehingga ada penjawat awam tidak mampu memiliki rumah sendiri dan sistem pencen sedia ada merupakan kemudahan buat mereka meneruskan kehidupan selepas persaraan.

Beliau berkata keputusan pemansuhan pemberian pencen juga dikhuatiri akan membawa “kesuraman” kepada perkhidmatan awam pada masa akan datang.

Dalam pada itu beliau sekali lagi menyeru kerajaan supaya segera menaikkan gaji penjawat awam tanpa perlu menunggu pelaksanaan SSPA yang mungkin siap hujung tahun ini berikutan situasi kenaikan kos sara hidup dan harga barangan ketika ini.

– BERNAMA


Pengarang :