Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang menyampaikan sumbangat alat tulis kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah, Klang pada 24 Januari 2024. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri
ADNSELANGOR

Hampir 2,000 calon SPM di DUN Pelabuhan Klang terima set alat tulis

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 1,905 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari lima sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima set alat tulis.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan berkenaan bertujuan memberi semangat dan memastikan pelajar mempunyai kelengkapan yang cukup untuk menduduki peperiksaan pada 30 Januari.

“Semoga dengan sumbangan alat tulis ini membantu menambah kelengkapan bagi menjawab peperiksaan dan apa penting adalah untuk menaikkan semangat mereka berjuang dalam SPM ini.

“Saya sendiri turun padang berjumpa dengan calon SPM untuk memberi kata-kata semangat kepada mereka,” kata Azmizam Zaman Huri ketika dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang (tengah, berdiri) bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah, Klang pada 24 Januari 2024. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Lima sekolah yang menerima sumbangan itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya dengan 283 calon, SMK Pulau Indah (232), SMK Bandar Sultan Sulaiman (161), SMK (P) Raja Zarina (300) dan SMK Dato Hamzah (119).

Pada masa sama, Azmizam turut memaklumkan 914 murid darjah satu yang berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) di DUN berkenaan akan menerima bantuan masuk sekolah.

“Mereka akan terima beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung. Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan sesi persekolahan anak pada Mac ini,” katanya.

Dilancarkan pada 2008, Tawas terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.

Tahun ini, seramai 36,326 ahli Tawas dari 56 DUN layak menerima bantuan PBMS berkenaan.


Pengarang :