Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor pada 2 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan dapur kembali menemui orang ramai Isnin depan

SHAH ALAM, 13 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijadual membuka tirai tahun ini di beberapa lokasi terpilih pada 15 Januari.

Orang ramai boleh menyemak lokasi jualan di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

“JER berehat seketika bermula 1 Januari hingga 14 Januari. JER akan kembali beroperasi pada Isnin, 15 Januari,” maklum agensi itu di Facebook.

Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Kampung Jambu, Kajang pada 23 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 2 Januari, Pengurus Kanan Pemasarannya Md Fazir Abdul Latif berkata program jualan murah barangan asas itu akan diakan di lebih 1,800 lokasi seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, lokasi tersebut tidak termasuk dengan program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi fresh pada hujung minggu.

Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :