Singgahsana Diraja di Balairong Seri Istana Negara lama. Foto Ihsan Muzium Diraja
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Kaedah saksama Majlis Raja-raja tentukan penggiliran Agong

Majlis Raja-Raja yang ditubuh pada 1948 memilih Raja Melayu untuk menyandang kedudukan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun sebagai ketua utama negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Majlis itu menggantikan Mesyuarat Raja-raja Negeri-negeri Bersekutu atau Majlis Raja-raja Melayu (Durbar) bagi membincangkan urusan agama, adat istiadat dan kepentingan penduduk tempatan.

Pertama kali berlangsung di Kuala Kangsar pada 1897, Durbar mulanya dihadiri empat Raja Melayu sebelum semua sembilan Raja Melayu hadir mesyuarat majlis itu pada 18 Februari 1948.

Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong lambang sistem raja berperlembagaan selain simbol ketaatan rakyat terhadap undang-undang dan perlembagaan.

Proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong pertama kali dibuat dalam Majlis Raja-Raja yang dihadiri sembilan Raja Melayu. Mereka bersidang untuk membuat undian pada Ogos 1957. Pada masa itu, Raja-raja sepakat memilih raja paling lama memerintah untuk menyandang kedudukan itu.

Ketika itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar yang berusia 84 tahun paling lama memerintah tetapi Baginda menolak atas faktor usia.

Kedua paling lama di takhta, DYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah tetapi Baginda tidak mendapat mandat.

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad yang ketiga paling lama memerintah kemudian dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama.

Sejak itu, sembilan raja setiap negeri Melayu menjadi ketua utama negara secara bergilir mengikut ketetapan berdasarkan kekananan dari segi pemerintahan.

Namun, ketetapan tersebut tidak lagi diguna pakai selepas DYMM Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbudin Shah melengkapkan kitaran sembilan Raja Melayu menyandang kedudukan tersebut. Senarai baharu disusun berpandu kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Proses undi

Menjelang lima tahun, Majlis Raja-Raja bersidang untuk memilih pengganti. Hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan penolong setiausaha Majlis Raja-raja terlibat dalam pengundian.

Sebelum itu, setiap Raja Melayu dibekal kertas undi untuk menyatakan pendapat sama ada raja paling kanan dalam senarai sesuai atau sebaliknya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Calon mesti mendapat majoriti lima undi. Proses pengundian dijalankan semula jika tiada undi majoriti dengan mencalonkan Raja yang kedua dalam senarai kekananan.

Proses tersebut dijalankan secara sulit menggunakan kertas undi tidak bernombor dan ditandai pena dan dakwat sama. Kertas itu kemudian dimusnahkan selepas keputusan diisytihar.

Pemilihan selesai selepas raja yang memperoleh majoriti menerima tawaran menjadi ketua utama negara. Jika sebaliknya, proses sama diulang.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kemudian menghantar surat mengesahkan keputusan itu kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan perdana menteri.

Selepas perdana menteri membuat pengumuman dan istiadat menandatangani surat sumpah jawatan di depan Majlis Raja-Raja dan Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan selesai, Yang di-Pertuan Agong baharu memulakan tugas rasmi sebagai ketua negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (depan, kanan) bersama semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan dan Perlis pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 27 Oktober 2023. Foto Facebook Tengku Zafrul

Senarai Yang di-Pertuan Agong sejak 1957:

• Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad
(31 Ogos 1957 – 1 April 1960)*

• Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Suleiman Shah
(14 April 1960 – 1 September 1960)*

• Almarhum Tuanku Syed Putra Al-Haj ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail
(21 September 1960 – 20 September 1965)

• Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin
(21 September 1965 – 20 September 1970)

• Almarhum Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
(21 September 1970 – 20 September 1975)

• Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim
(21 September 1975 – 29 Mac 1979)*

• Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah
(26 April 1979 – 25 April 1984)

• Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail
(26 April 1984 – 25 April 1989)

• Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah
(26 April 1989 –25 April 1994)

• Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (26 April 1994 – 25 April 1999)

• Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj
(26 April 1999 – 21 November 2001)*

• Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
(13 Disember 2001 – 12 Disember 2006)

• Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
(13 Disember 2006 – 12 Disember 2011)

• Almarhum Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
(13 Disember 2011 – 12 Disember 2016)

• Sultan Muhammad V
(13 Disember 2016 – 6 Januari 2019)**

• Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
(7 Januari 2019 – kini)

* mangkat dalam jawatan
** letak jawatan


Pengarang :