Antara pendatang asing tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen dan permit sah ditahan ketika operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar KLCC, Jambatan Saloma Link dan Pavillion Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Imigresen gempur tiga kawasan tumpuan pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menggempur tiga kawasan panas lokasi tumpuan pendatang tanpa izin di sekitar ibu kota malam tadi dan menahan 31 warga asing atas pelbagai kesalahan.

Operasi bermula 9.30 malam itu berakhir 11 malam dengan menumpukan kawasan panas sekitar pusat beli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Suria KLCC dan Pintasan Saloma.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 50 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) c Akta Imigresen 1963 kerana tinggal lebih masa dan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Antara Pendatang Warg Asing Tanpa Izin (Pati) yang tidak mempunyai dokumen dan permit yang sah ditahan ketika operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar KLCC, Jambatan Saloma Link dan Pavillion Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2023. Foto BERNAMA

“Pendatang tanpa izin yang ditahan melibatkan empat warga Indonesia, Bangladesh (lapan), India (enam), Pakistan (empat), Nepal (empat), Filipina (tiga) Afganistan dan Syria masing-masing seorang,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di KLCC di sini malam tadi.

Seramai 42 anggota terlibat dalam operasi berkenaan selain dibantu empat petugas Jabatan Pendaftaran Negara.

Jafri berkata operasi malam tadi dijalankan hasil risikan selama seminggu susulan aduan awam berhubung kebanjiran pendatang tanpa izin di kawasan berkenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi,” katanya.

Dalam pada itu Jafri memberi amaran JIM akan terus meningkatkan operasi bagi memastikan ibu negara bebas daripada pendatang tanpa izin.

– BERNAMA


Pengarang :