ADN Kota Damansara Izuan Ahmad Kasim menyampaikan sumbangan kepada bapa mangsa simbah asid Azman Shah Mohammad berjumlah RM5,000 sambil disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI peruntuk RM1 juta untuk mangsa bencana, permohonan bantuan makin bertambah

PETALING JAYA, 29 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1 juta khusus untuk membantu mangsa bencana tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu bertambah berbanding tahun sebelumnya, RM500,000.

“Peruntukan tahun ini ditingkatkan menjadi RM1 juta kerana pelbagai musibah dihadapi penduduk selain menerima banyak permohonan.

“Secara keseluruhan, MBI sentiasa bersedia dalam membantu mereka yang berdepan musibah tidak dijangka,” katanya ditemui selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa pokok tumbang dan kebakaran di pejabat wakil rakyat Kota Damansara di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Azri bersama Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa simbah asid, Nadia Fasha Qistina Azman Shah berusia 20 tahun di kediamannya di Kota Damansara.

Menerusi sumbangan bencana hari ini, MBI mengagihkan bantuan RM13,000 kepada mangsa simbah asid, pokok tumbang dan kebakaran.


Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada penerima yang ditimpa musibah di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Damansara, Petaling Jaya pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Ahmad Azri turut memaklumkan pihaknya akan meneliti bantuan lanjut berhubung pembedahan kosmetik terhadap mangsa simbah asid, Nadia Fasha Qistina dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Daripada maklumat diterima, bapa mangsa ada menghantar permohonan bantuan kepada zakat. Oleh itu, kita perlu teliti perkembangan permohonan tersebut.

“Jika tidak, kita bersedia memberi bantuan lanjut kepada mangsa di bawah zakat wakalah MBI,” katanya.

Pada 8 November lalu, Nadia Fasha Qistina disimbah asid oleh seorang lelaki menyamar sebagai pekerja e-hailing sebelum suspek melarikan diri.

Kejadian berlaku ketika mangsa pulang dari tempat kerja di sebuah klinik di lokasi kejadian dan mengakibatkannya parah pada muka dan badan serta kaki sehingga terpaksa menjalani lapan kali pembedahan.


Pengarang :