ADN Banting V Papparaidu ketika Majlis Apreasiasi Jasa Bakti Ketua Komuniti Kaum India (KKI) Negeri Selangor Sesi Lantikan 2021-2023 di Hotel Wyndham Achmar, Klang pada 30 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Naik taraf Hospital Banting bermula, sedia kemudahan kesihatan terbaik

SHAH ALAM, 27 JAN: Penduduk Banting bakal menikmati kemudahan kesihatan lebih baik menerusi kerja naik taraf Hospital Banting dengan peruntukan RM359 juta.

Wakil rakyatnya V Papparaidu berkata ketika ini perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sudah bermula bagi melancarkan proses pembinaan.

“Ya, setakat ini kita sedang lakukan perbincangan dari semasa ke semasa dengan semua pihak. Kita mahu pastikan projek ini berjalan lancar kerana ini projek penting.

“Penduduk sudah lama perlukan satu hospital baharu kerana hospital sedia ada sudah tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat,” katanya kepada Selangorkini.

Hospital Banting mula beroperasi pada 1974 di atas tapak seluas 10 hektar dan hanya memiliki 151 katil bagi menampung lebih 300,000 penduduk Kuala Langat.

Pada 2019, kerajaan melulus peruntukan kepada Hospital Banting bagi kerja naik taraf bilik endoskopi di dewan bedah, penggantian bumbung di Jabatan Anaesthesiologi, unit rawatan rapi (ICU) serta kuarters kakitangan.

Jun tahun lalu, Hospital Banting menerusi Facebook memaklumkan kerja awalan naik taraf sudah bermula membabitkan penyediaan lukisan tinjaun, ujian tanah dan pemetaan utiliti.

“Perbincangan juga dibuat bagi mengurangkan risiko sepanjang kerja naiktaraf dibuat agar perkhidmatan kesihatan kepada pesakit pada tahap terbaik,” maklumnya.


Pengarang :