Kereta jenis Bezza milik S Nagakanni hanya sempat digunakan selama lapan jam selepas dibeli sebelum rosak. Foto Facebook S Nagakanni
AGENDANASIONAL

Perodua setuju beli semula Bezza wanita rosak dengan harga penuh

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Pemilik Perodua Bezza, S Nagakanni yang mendakwa kenderaan dibelinya pada Oktober lalu rosak tidak sampai lapan jam selepas dibeli, memaklumkan syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bersetuju untuk membeli semula keretanya dengan harga penuh.

Menerusi hantaran di Facebook, Nagakanni berkata beliau tidak perlu lagi membayar ansuran bulanan kereta yang rosak itu dan semua bayaran sebelum ini akan diterimanya semula.

“Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh! Dengan keputusan ini, saya tidak perlu lagi membayar untuk kereta lama malah semua bayaran dibuat sebelum ini, saya akan dapat semula.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ini dan beli kereta lain,” katanya.

Wanita itu berkata beliau diberikan tempoh sehingga tujuh hari untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran tersebut.

Nagakanni turut berterima kasih kepada orang ramai yang menyokong perjuangannya menuntut semula hak sebagai pengguna.

“Saya terhutang budi dengan anda. Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni. Tapi saya belajar sesuatu, walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila Nagakanni mendakwa kenderaan yang baru dibeli hanya sempat digunakan selama lapan jam sebelum rosak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini berkata sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi memastikan isu sama tidak berulang.

Beliau berkata Nagakanni mungkin satu-satunya individu yang paling beruntung di negara ini yang menerima penggantian kereta baharu daripada pembuat kereta untuk sedan yang baru dibelinya, namun katanya jika bukan kerana tekanan netizen, wanita itu mungkin terpaksa menanggung sendiri kerugian tersebut.

“Selepas pengalaman getirnya tular dan netizen banyak memberi tekanan kepada pengeluar kereta itu, akhirnya pengeluar kereta nasional itu bersetuju untuk membeli keretanya.

“Walaupun ia adalah tindakan yang mulia bagi pengeluar kereta itu untuk menggantikan kereta Nagakanni, ia hampir tidak pernah didengar, bagi pengeluar kereta untuk menukar kereta yang baru dijual dan menggantikan dengan kereta baharu di Malaysia, tanpa terlebih dahulu membawa perkara itu ke mahkamah. Pada masa sama, individu lain mungkin tidak mendapat layanan sama, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian terutama apabila mereka membeli kereta secara sewa beli,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :