AGENDAJENAYAH

Remaja, bapa pemain antara lima ditahan gaduh ketika lawan bola sepak

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Lima lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang berlaku ketika perlawanan bola sepak di sebuah padang di Bandar Gamuda, Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata kejadian yang berlaku pada 8.40 malam itu berpunca daripada perselisihan faham melibatkan pemain dua kelab bola sepak peringkat komuniti.

“Difahamkan ketika perlawanan berlangsung, telah berlaku selisih faham antara kawan pengadu dengan pemain lawan dan pengadu cuba meleraikan pergaduhan itu, namun dia telah diserang oleh beberapa pemain lain.

“Akibat kejadian itu, pengadu telah mengalami sakit di bahagian luka di bahagian hidung, lebam di bahagian belakang badan, leher, muka dan sakit di seluruh bahagian badan sebelum melaporkan kejadian itu ke pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shafa’aton berkata lima lelaki berkenaan termasuk seorang bapa pemain, berusia antara 14 hingga 39 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Bagaimanapun kesemua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Video berdurasi 30 saat pergaduhan antara beberapa pemain bola sepak remaja peringkat komuniti menggunakan kerusi plastik dan topi keledar itu tular di media sosial.

-BERNAMA


Pengarang :