Delegasi Universiti Islam Selangor (UIS) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) melibatkan kerjasama penyelidikan di UIS pada 9 Januari 2024. Foto Facebook Universiti Islam Selangor
AGENSISELANGOR

UIS meterai kerjasama penyelidikan pembangunan mualaf sebagai pendakwah

SHAH ALAM, 12 JAN: Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum perjanjian (MOA) berkait kerjasama penyelidikan bagi membangun potensi mualaf sebagai pendakwah.

Unit Komunikasi Korporat UIS memaklumkan MOA ditandatangani dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi penyelidikan bertajuk ‘Pembangunan Model Pembentukan Mualaf Profesional Sebagai Pendakwah’.

“Kerjasama ini berkait penyelidikan, penulisan ilmiah, penerbitan, seminar dan wacana untuk membangun mualaf sebagai pendakwah.

“Kajian itu juga bakal merangka pendekatan praktikal yang akan menjadi panduan mendekati golongan mualaf profesional untuk berperanan sebagai pendakwah terutama dalam kalangan mereka,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut katanya kajian diketuai pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin mewakili UIS manakala Perkim pula diwakili Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasinya, Dr Suariza@Hidayah Mohammad.

Memorandum ditandatangani Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Jaringan Komuniti dan Industri UIS Prof Madya Dr Mokmin Basri dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

UIS adalah pusat pengajian tinggi milik Kerajaan Selangor dan telah melahirkan 27,365 graduan antara 1998 hingga 2022.


Pengarang :