AGENDAJENAYAH

Polis tahan tiga individu, rampas dadah, aset nilai lebih RM200,000

KUALA LUMPUR 2 FEB: Polis menahan tiga individu dan merampas 18.534 kilogram ganja dan 2001 biji pil Erimin 5 dengan anggaran berat 57.06 gram, dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Gombak pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju DSP Norhisham Mustapar berkata dalam serbuan pada 4.50 petang itu, polis turut menyita wang tunai RM277, sebuah kenderaan jenis Nissan Navara, sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dan dua unit komputer riba jenis Macbook.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan RM206,900, manakala jumlah dadah yang dirampas mampu menampung keperluan seramai 18,591 orang penagih.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur antara 36 hingga 37 tahun itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol dan benzodiazepines,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Norhisham berkata ketiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Feb untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Norhisham menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat berkenaan aktiviti berkaitan dadah supay menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

— BERNAMA


Pengarang :