Suasana sekitar Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sidang halal negeri berlangsung Oktober, perkukuh rantaian industri

SHAH ALAM, 9 FEB: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2024 yang dijadual Oktober ini dijangka akan terus memperkukuh rantaian dan melonjak pembangunan industri halal.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, persidangan itu menurut Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd bakal disertai 200 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Syaril Showkat Ali berkata Selhac menekankan tiga tema utama iaitu pensijilan halal, logistik halal dan inovasi digital halal.

“Tiga tema yang dibawa berdasarkan keperluan dan kelompongan dalam industri ketika ini yang menekankan pemerkasaan serta kepentingan ketiga-tiga aspek ini.

“Rantaian industri halal tidak terhad hanya kepada makanan pelbagai lagi sektor dan segmen terkait rapat dengannya termasuklah logistik dan perkhidmatan,” katanya kepada Selangorkini.

Dalam perkembangan lain, katanya, HIS Toyyiba Sdn Bhd akan menjalin kerjasama strategik dengan Tanzania berhubung pembangunan industri halal termasuk rantaian bekalan dan pelancongan.

“Di sana juga belum ada lagi badan pensijilan yang mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jadi kita bantu hubungkan mereka,” kata Muhammad Syaril.

Penganjuran pertama Selhac pada Mac 2022 mencatat transaksi bernilai RM37.7 juta melebihi jangkaan awal RM20 juta, dan terus meningkat kepada RM57.4 juta tahun lalu.

Sidang halal itu turut menyediakan platform ulung dalam industri halal di Asean dan Malaysia bagi meluaskan rangkaian pemasaran.

 


Pengarang :