Lucy atau Ardini Angeline dan Sabri Yunus disatukan sebagai suami isteri di Kangar, Perlis pada 14 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Kekalkan tradisi makan besar, ‘Lucy’ pilih juadah halal sambut raya

Sebut Pi Mai Pi Mai Tang Tu, pasti ramai mengenali watak Lucy, seorang gadis Cina rupawan sering diusik Budin, Mat Deris, Wan Ismail Golok dan Ravi.

Penonton tidak kering gusi melihat keletah Lucy lakonan Angeline Tan, Budin (Imuda), Mat Deris (Allahyarham Ahmad Busu), Wan Ismail Golok (Sabri Yunus) dan Ravi (Sathiya) dalam siri komedi popular dekad 1990-an itu.

Tanpa disangka Lucy terpikat dengan kenakalan Wan Ismail Golok dan berkahwin di Kangar, Perlis pada 14 Oktober tahun lepas – kira-kira 20 tahun selepas siri itu berakhir.

Pemilik nama sebenar Tan Yoke Yeah yang melafaz syahadah 18 hari sebelum pernikahannya, memilih pelakon dan pengarah sohor Sabri, 63, sebagai teman hidup.


Lucy atau Ardini Angeline mengenali pelakon, pengarah, pelawak Sabri Yunus sejak 31 tahun lalu sebelum disatukan sebagai suami isteri di Kangar, Perlis pada 14 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Memakai nama muslim Ardini Angeline, tahun ini kali pertama ibu dua anak itu meraikan Tahun Baharu Cina sebagai orang Islam.

Angeline akan berpakaian sopan dan menutup aurat pada perayaan masyarakat Tionghoa, sejajar dengan imej bertudung.

“Sempena perayaan ini, saya akan beli blaus berwarna merah gelap dan seluar panjang. Gantikan ceongsam yang saya selalu pakai. Yalah, ceongsam kainnya terbelah. Tidak sesuai dengan saya.

“Disebabkan Tahun Baharu Cina lama sambutannya, ada juga hari yang saya akan pakai jubah, maklumlah jubah saya ada macam-macam warna, sesuai untuk perayaan,” katanya ditemui Selangorkini pada 31 Januari.

Makan besar

Sebelum memeluk Islam, Angeline lazimnya makan besar bersama anak-anak hasil perkahwinan terdahulu pada malam perayaan Tahun Baharu Cina.

Meski sudah muslim sekarang, tradisi itu tetap diteruskan. Bezanya akan ada hidangan halal semasa acara berkenaan.

Anak perempuan dan anak lelaki yang masing-masing berumur 33 dan 30 tahun akan mendapatkan makanan halal untuk Angeline.

“Sejak saya memeluk Islam, jika hendak makan bersama, pasti ahli keluarga dulu yang akan sibuk cari kedai makanan halal. Mereka sangat prihatin.

Antara kenangan Lucy, Wan Ismail Golok bersama pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu dalam siri komedi popular dekad 1990-an itu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Mungkin waktu makan besar nanti abang (Sabri) ada sekali jika dia tidak sibuk, jadi kami akan bersama-sama raikan sebagai satu keluarga,” ceritanya sambil tersenyum manis.

Walau mencecah usia 57 tahun, Angeline kekal jelita. Pemenang tempat kedua ratu cantik Pesta Pulau Pinang 1986 itu semakin anggun apabila mengenakan tudung.

Kurang empat bulan mengenakan tudung, beliau sedikitpun tidak kekok. Malah cara memakainya pun dipelajari sendiri.

“Orang lain suruh tengok TikTok, tapi saya mana ada masa. Tengok orang itu pakai fesyen begitu, saya cuba sendiri. Akhirnya jadi.”

Ceritanya, dulu hobinya membeli kain selendang. Kerjayanya sebagai pelakon menyebabkan lokasi kerjanya juga tidak menentu.

“Bila ada shawl (kain selendang) mudah hendak ke mana-mana. Senang tutup kepala atau badan kalau ada tempat yang saya patut berpakaian sopan. Jadi saya memang suka beli, shawl kecil atau besar, asalkan cantik.

“Tidak sangka hobi saya itu sekarang, daripada shawl itu saya boleh gunakan untuk tutup kepala sekarang,” katanya.

Baru selesai penggambaran drama Jangan Lupa Janji untuk tayangan Astro, Angeline berkata tawaran berlakon masih diterimanya sehingga kini.

Sudah 38 tahun dalam industri seni, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa yakin dengan rezeki, tambah-tambah lagi selepas berkahwin.

Mengimbau peringkat awal pembabitan dalam bidang seni, Angeline mendedahkan, ibunya menentang kerjayanya sebagai pelakon kerana sering balik tidak tentu masa.

Namun beliau tidak pernah berputus asa untuk membuktikan dirinya boleh berjaya dalam bidang berkenaan.

Jantung hatinya ialah dunia lakonan. Angeline sudah memegang watak utama untuk drama pertamanya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1986 ketika berumur 19 tahun.

“Saya tidak pernah pegang watak tambahan, masuk-masuk RTM, terus jadi watak utama. Semuanya rezeki selepas berkenalan dengan tauke kedai gambar. Dia yang buat tawaran pada masa itu.

“Orang yang saya kenal ketika mula terjun dalam bidang ini semuanya baik-baik. Betul-betul ajar saya. Sedangkan saya tidak pandai berlakon,” kata anak sulung tujuh beradik itu.

Namun pelajaran berlakon paling bermakna dalam hidupnya ketika penggambaran Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 1992.

Mengakui siri komedi ikonik 1990-an itu akademi terbesar dalam hidupnya, beliau menganggap Sabri, pelawak Abon dan pengarah Othman Hafsham adalah guru sepanjang rakaman berkenaan.

Menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Kuen Cheng (dahulu Sekolah Tinggi Perempuan Kuen Cheng) Kuala Lumpur, Angeline berkata drama 1,210 episod itu banyak mengajarnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

“Awalnya memang tertekan sebab produksi besar. Tapi sebab ada abang (Sabri) dan Ahmad Busu, mereka banyak tenangkan saya. Tidak jemu ajar.”

Perkahwinan

Bercakap mengenai perkahwinannya dengan pelakon utama drama komedi Pok Ya Cong Codei pada 14 Oktober lalu, Angeline mengakui ia mengejutkan ramai pihak.

Seperti peminat siri berkenaan, Angeline juga tidak menyangka dia bertemu jodoh dengan Sabri, lantaran kedua-duanya rakan baik.

Kata Angeline, dia dan Datin Marlia Musa dikenali watak Anna cukup takut berlakon dengan Sabri.

“Ya kami takut. Kami takut ketawa! Ada saja lawak yang abang buat. Itu kadang-kadang kami berdua curi ketawa. Marlia pun suka ketawa belakang surat khabar supaya penonton tidak nampak,” jelasnya.

Meski penggambaran Pi Mai Pi Mai Tang Tu sudah tamat, hubungan mereka tidak putus. Malah sering berhubung atas faktor kerja dan meminta tunjuk ajar lakonan.

Turut aktif dalam pengacaraan, Angeline sering bertanya penggunaan tatabahasa betul dengan lelaki yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan itu.

Sebagai rakan artis, Angeline menghormati Sabri yang lebih lama dalam dunia seni. Namun kasih mula berputik pada 2020 ketika Sabri mula memanggilnya berlakon.

Lucy atau Ardini Angeline masih menerima tawaran berlakon dan beliau baru selesai penggambaran drama Jangan Lupa Janji untuk tayangan Astro. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Semua berlaku secara semula jadi, bukan dibuat-buat. Saya sendiri pun tidak tahu macam mana boleh suka,” katanya sambil menepuk meja.

Selain sering membuatnya ketawa, Angeline paling menyukai sikap tidak kedekut ilmu yang dimiliki Sabri.

Sabri pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd Yusof dan dikurniakan tiga anak. Norraya meninggal dunia akibat barah pada Ogos 2007.

Hampir empat dekad sebagai anak seni, wanita itu masih tidak pernah menggenggam apa-apa trofi, tetapi beliau tidak kesah mengenainya.

Baginya cukup orang ramai menyapanya di luar dan meluahkan minat dengan hasil lakonannya.

“Itu penghargaan terbesar dalam hidup saya. Buat apa hendak sedih-sedih, kita kena gembira selalu. Begitu juga dengan Tahun Baharu Cina.

“Bukan waktu ini saja sambut perayaan, jika kita gembira, hari-hari pun raya Cina,” katanya.


Pengarang :