Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat menjalankan kerja-kerja pembersihan susulan insiden pengesanan minyak di Sungai Kundang pada 1 Mac 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSISELANGOR

LUAS giat bersihkan 33 guni ikan mati, terus pantau elak Sungai Kundang tercemar

SHAH ALAM, 2 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat membersihkan 33 guni ikan mati di perangkap sampah Sungai Kundang susulan insiden pengesanan minyak di sungai itu, semalam.

Menurutnya penemuan itu hasil kerja pembersihan yang dilaksanakan dan agensi itu masih memantau rapi bagi memastikan tiada potensi serta risiko pencemaran.

“Kerja pembersihan susulan insiden pengesanan minyak di Sungai Kundang semalam masih lagi berjalan dan LUAS komited terus memantau rapi agar pembersihan dilakukan sehingga selesai dan tiada potensi serta risiko pencemaran.

“Kerja-kerja pembersihan di dalam premis terlibat dan jajaran Sungai Kundang yang terkesan berhampiran kawasan tanah perkuburan Kundang telah selesai antara jam 6 petang hingga 8 malam semalam,” katanya menerusi Facebook hari ini.

LUAS menambah kerja pembersihan hari ini tertumpu di longkang luar premis yang masih terdapat sisa aliran tercemar serta perangkap sampah di Sungai Kundang.

Jelasnya pemantauan statik LUAS setiap 30 minit di Sungai Sembah sejak pagi tadi menunjukkan bacaan bau dan keadaan aliran sungai yang normal serta tiada kesan minyak ditemui.

Semalam agensi itu mengesan kesan dan bau seakan minyak kelapa ketika melakukan rondaan dan pemantauan di Sungai Kundang pada jam 11 pagi semalam.

Susulan itu, LUAS mengaktifkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan serta mitigasi segera berikutan jarak antara lokasi premis ke Loji Rawatan Air Rantau Panjang adalah 18.75 km.


Pengarang :