Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin (tengah) yang kini bersama Y.S.C.C Yokohama bergambar bersama dua rakan pasukannya. Foto dimuat naik di Facebook YSCC pada 18 Januari 2024
AGENDASUKANKINI

Luqman Hakim peraga aksi penuh yakin dalam penampilan pertama di Jepun

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin tampak berkeyakinan dalam debut bersama Y.S.C.C Yokohama yang menewaskan Mito Hollyhock 1-0 pada saingan Piala Levain di Yokohama, Jepun malam tadi.

Pemain berusia 22 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika pasukan sedang mendahului pada minit ke-77 dan beraksi hampir 20 minit termasuk tambahan masa pada aksi di Stadium Bolasepak NHK Spring Mitsuzawa, berdasarkan video perkongsian @J_League_En di laman X.

Selain tampak berkeyakinan, penjaring terbanyak bersama kempan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun (B-16) 2018 itu yang juga pernah diiktiraf sebagai antara 60 pemain muda berpotensi oleh The Guardian pada 2019, turut menunjukkan tahap kecergasan dan ketangkasan yang baik.

Piala Levain juga dikenali sebagai Piala Liga J yang merupakan antara kejuaraan domestik di Jepun.

Luqman yang pernah membantu Malaysia muncul naib juara Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Bawah 18 Tahun 2019, menyertai Y.S.C.C Yokohama yang bersaing dalam Liga J3 secara pinjaman bagi musim 2024 daripada kelab Liga Pro Belgian, KV Kortrijk.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebelum ini dipinjamkan ke kelab Iceland, Njardvik pada 2023.

Luqman ketika ini perlu mendapatkan minit permainan secukupnya untuk mencapai tahap optimum bagi memburu tempat dalam skuad B-23 kebangsaan yang akan menghadapi saingan Piala Asia B-23 2024 di Qatar bermula 15 April depan, selain mengintai peluang untuk menyertai pasukan senior.

– BERNAMA


Pengarang :