Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melawat ke Kaunter PADU Selangor di Dewan Orang ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Manfaat hari terakhir daftar Padu di enam kaunter fizikal Hulu Langat

SHAH ALAM, 31 MAC: Orang ramai dipelawa mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di daerah Hulu Langat pada hari terakhir pendaftaran.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Selangor menerusi X memaklumkan lebih enam kaunter fizikal dibuka mulai 9 pagi hingga 3.30 petang.

Lokasi di Pasaraya Econsave Semenyih, Jalan Pasar Baru, Pekan Semenyih; Dewan Penghulu mukim Beranang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Dato’ Ahmad Razali.

Selain itu di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Ampang; Pusat Komuniti KRT Blok E, Tingkat 1 Pangsapuri Seri Nilam dan Dewan Komuniti Pekan Ampang, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang.

Orang ramai diminta membawa kad pengenalan, telefon bimbit dan maklumat akaun bank manakala ketua isi rumah perlu menyediakan maklumat isi rumah.

Sebelum ini, Ketua Pengarah DOSM Selangor Hartini Yaacob berkata kemas kini maklumat isi rumah itu penting bagi memudahkan penyaluran bantuan yang dirancang kerajaan pada masa depan.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac yang dianggar mengambil masa kurang 10 minit.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal untuk meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.


Pengarang :