Keadaan di sekitar Empangan Semenyih yang merupakan empangan utama di Lembah Klang. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Paras air empangan di Selangor stabil, lebihi 80 peratus meskipun cuaca panas

SHAH ALAM, 29 MAC: Paras air di tujuh empangan di Selangor berada pada tahap stabil setakat ini meskipun negara berdepan cuaca panas.

Menurut EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim, kapasiti air di kebanyakan empangan juga berada pada paras melebihi 80 peratus.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ditemui selepas merasmikan Pesta Memancing Bagan Lalang di Jeti Sirip Biru, Sepang pada 24 Jun 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGROKINI

“Setakat ini tiada masalah. Semuanya stabil dan kebanyakan masih 80 peratus dan 90 peratus ke atas. Cuma di empangan Klang Gates 70 peratus ke atas, namun masih terkawal dan stabil.

“Kita sentiasa memantau paras air di empangan dan setakat ini semuanya berada dalam keadaan stabil walaupun cuaca panas,” katanya kepada Selangorkini.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sehingga jam 8 pagi hari ini paras air Empangan Batu sebanyak 88.17 peratus, Empangan Klang Gates (76.17 peratus), Empangan Langat (79.15 peratus).

Sementara itu paras air di Empangan Semenyih pula sebanyak 100.18 peratus, Empangan Sungai Selangor (89.82 peratus), Empangan Sungai Tinggi (94.46 peratus) dan Empangan Tasik Subang (100 peratus).

Semalam, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan empat empangan air di Johor, Pulau Pinang dan Kedah mencatat penurunan simpanan sumber air mentah kepada paras kritikal susulan cuaca panas.

Menurut Nadma Empangan Sembrong Barat di Johor yang kini merekodkan paras 31.65 peratus, Empangan Air Itam di Pulau Pinang (35 peratus), Empangan BS Padang Saga (39.67 peratus) serta Empangan Malut (39.90 peratus) di Kedah.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula hari ini dan berterusan hingga Mei depan yang menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24.

Permulaan fasa peralihan monsun dengan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara, dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.


Pengarang :