EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (tengah) bersama peserta ketika program CXO Club First Session anjuran Sidec di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur pada 26 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sidec lancar Kelab CXO bantu syarikat pemula jana pendapatan RM1 juta

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancarkan program Kelab CXO bagi membantu syarikat pemula menjana pendapatan melebihi RM1 juta.

EXCO pelaburan berkata program berlangsung mulai bulan ini hingga Oktober depan dibuka kepada 100 peserta dalam kalangan pegawai kanan syarikat termasuk ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai operasi.

Jelas Ng Sze Han, program mendapat tajaan Affin Bank itu membolehkan peserta memasarkan produk ke pasaran antarabangsa antaranya Taiwan, Jepun, London dan Hong Kong.

“Kelab CXO menjadi platform untuk usahawan pakar dan mahir terus berkembang hasil bimbingan pelatih berpengalaman yang bertanggungjawab membimbing semua peserta.

“Inisiatif ini menyasarkan penyertaan dari kategori usahawan kecil sederhana (35 peratus), perniagaan e-dagang dan teknologi (30 peratus) dan korporat (lima peratus),” katanya berucap melancarkan kelab berkenaan di Menara Affin di sini hari ini.

Sze Han berkata peserta terpilih merupakan syarikat yang pernah menyertai program Sidec sebelum ini termasuk Program Pemecut Selangor (SAP).

“Yuran keahlian sebanyak RM3,000 setahun. Sepanjang program, peserta akan menyertai lawatan industri ke Affin TRX, AWS, Microsoft, Securities Commission dan Alibaba Cloud untuk meneroka,” katanya.

Peserta juga berpeluang menjalin rangkaian perniagaan dengan pelbagai industri, kemudahan akses ke pasaran antarabangsa serta terlibat sesi pembelajaran berkualiti tinggi.


Pengarang :