Mohd Fadli Osman, Hayati Abdullah dan Ahmad Naufal Suhaimi pada Majlis Konvokesyen Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) 2024 STDC-RPWP di Kompleks RPWP Kajang pada 11 Mac 2024. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiga beranak serentak tamat kursus sijil kemahiran tajaan MBI

KAJANG, 12 MAC: Tiga beranak gembira dapat menyarung jubah konvokesyen serentak dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menerusi program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) 2024.

Penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) itu mendapat tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang disalur melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

Bekas kakitangan kerajaan, Hayati Abdullah, 44, berkata beliau bersama pasangan Mohd Fadli Osman, 44, mengambil keputusan berhenti kerja sebelum ini kerana mahu menjadi sukarelawan di RPWP pada 2015.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Institut Pendidikan Guru, Kuala Lumpur tidak menyesal meninggalkan jawatan tetap kerana mahu membantu penghuni lain di rumah tersebut selain ingin melihat anak membesar di depan mata.

“Sebelum ini RPWP ada restoran dan saya kerja secara separuh masa selepas waktu pejabat, kemudian lama-kelamaan mengambil keputusan untuk berhenti dan menjadi sukarelawan sepenuh masa di sini.

“Apabila saya di sini suasana lebih tenang dapat melihat anak membesar depan mata, belajar ilmu agama dan saling bantu membantu antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui.

Hayati yang kini menjadi salah seorang tukang masak di RPWP turut meluahkan rasa syukur apabila berjaya mendapat tajaan sijil SKM daripada MBI.

Beliau, suami dan anak lelaki menerima sijil SKM pada Majlis Konvokesyen PPT 2024 STDC-RPWP semalam yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop.

Berkongsi keputusan untuk ke RPWP, Mohd Fadli yang mendapat SKM bidang automotif berkata beliau melihat persekitaran di rumah pengasih itu lebih tenang serta seimbang dunia dan akhirat.

“Kami tergerak untuk masuk ke sini selepas melihat keperluan untuk membantu penghuni di sini yang rata-ratanya golongan asnaf dan anak yatim. Di sini kami seakan satu keluarga,” jelasnya yang bekerja sebagai pemandu sebelum ini.

Manakala anaknya Ahmad Naufal Suhaimi, 18, pula gembira dapat bergraduasi bersama ibu bapanya dan menyifatkan peluang itu bukan mudah.

“Syukur dapat graduasi bersama ibu dan bapa serta mendapat tajaan MBI dan STDC. Saya amat bersyukur diberi peluang berada dalam kalangan penghuni RPWP sejak usia lapan tahun hingga kini.

“Di sini kami diajar pelbagai asas dan ilmu bermanfaat baik dari aspek dunia mahupun akhirat,” kata anak sulung dari empat beradik itu.

RPWP merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan diasaskan Dr Masjuki Mohd Musuri dengan dibantu 20 sahabat yang juga pengasas bersama sejak 2005.

Misi utama adalah menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan akhlak serta pusat kajian pembangunan peradaban Islam moden.

Rumah itu menempatkan keluarga pengasas dan sukarelawan sepenuh masa yang bertugas menjaga pelbagai golongan seperti anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, asnaf fakir dan individu yang mempunyai masalah akhlak.

 


Pengarang :