Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kediaman rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

UiTM tawar pengajian pradiploma kepada pelajar B40 Selangor

SHAH ALAM, 8 MAC: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menawarkan pengajian pradiploma kepada anak Selangor daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Naib canselornya berkata tawaran itu bertujuan memberi peluang kedua kepada individu yang tidak mendapat tempat ke peringkat tertinggi.

Menurut Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, maklumat lanjut program ditawar boleh diperoleh menerusi laman sesawang UiTM.

“Rata-ratanya mereka yang sambung ke peringkat pradiploma memperoleh keputusan yang cemerlang malahan melalui laluan ini pelajar boleh meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Seperti semua tahu UiTM paling besar entitinya di Selangor dan carta atau gagasan kami mahu melahirkan bumiputera profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pengurusan tertinggi UiTM mengadakan kunjungan hormat ke kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin bercakap kepada media ketika kunjungan hormat pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kediaman rasmi Menteri Besar, Seksyen 7, Shah Alam pada 8 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Shahrin turut berterima kasih atas kesudian Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan wakil UiTM bagi membincangkan beberapa perkara.

Jelasnya, antara hal lain yang dibincangkan adalah pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta pembangunan ilmu di Selangor.

“Kita turut membincangkan dengan Dato’ Menteri Besar berhubung mahu meningkatkan tahap kecekapan dan kemahiran anak-anak Selangor.

“UiTM juga merangka beberapa tindakan susulan supaya dapat terus bekerjasama lebih erat dengan Kerajaan Negeri dan agensi di bawahnya,” katanya.


Pengarang :