AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi RM3.4 juta, terpedaya skim pelaburan tak wujud

SEREMBAN, 21 MAC: Wanita warga emas menanggung kerugian RM3.46 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan tinggi menerusi pertukaran mata wang asing atau Forex.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata mangsa berusia 60-an itu mendakwa menerima pesanan ringkas dari nombor tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan Forex pada 22 Januari lalu.

“Percaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat 60 transaksi keseluruhan berjumlah RM3.46 juta ke pelbagai akaun yang diberikan suspek. Pengadu menyedari ditipu setelah membuat semakan ke atas laman web pelaburan tersebut dan mendapati ia tidak wujud.

“Mangsa seterusnya membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :