Wakil rakyat Ir Izham Hashim menyerahkan baucar Jom Shoping Perayaan Aidilfitri peringkat DUN Pandan Indah pada 1 April 2024. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pandan Indah – YB Izham Hashim
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Pandan Indah sedia peruntukan khas RM45,000 agih bakul makanan Aidilfitri

SHAH ALAM, 4 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah memperuntukkan RM45,000 bagi sumbangan bakul makanan Aidilfitri.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata dana itu disediakan khusus untuk penduduk tidak mendapat baucar Jom Shopping yang hanya terhad kepada 750 penerima sahaja.

“Kita peruntuk RM45,000 untuk inisiatif khas ini dan tidak menetapkan jumlah penerima. Pemohon yang layak kita akan luluskan serta-merta selain mengguna pakai konsep siapa cepat dia dapat.

“Setakat ini, kita terima lebih 500 permohonan dan pemohon yang lulus akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dihubungi Selangorkini.

Sebelum ini, Izham yang juga EXCO Kerajaan Negeri memaklumkan inisiatif bakul makanan Aidilfitri diwujud susulan agihan baucar Jom Shopping bernilai RM200 hanya terhad kepada 750 penerima sahaja.

Katanya, menerusi inisiatif tersebut, lebih ramai penduduk khususnya berpendapatan rendah dapat dibantu menjelang sambutan Aidilfitri.

Tahun ini Kerajaan Negeri menyediakan 37,550 baucar sempena hari raya melibatkan peruntukan RM7.510 juta untuk diagih kepada golongan memerlukan.


Pengarang :