Sukarelawan MySave Food@Bazar Ramadan membuat pengumpulan lebihan makanan di bazar Ramadan depan IADA Kuala Selangor pada 29 Mac 2024. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

MPKS kumpul lebih 460 kg makanan bazar Ramadan, agih kepada golongan memerlukan

SHAH ALAM, 4 APR: Sebanyak 464.82 kg lebihan makanan berjaya dikumpul di bazar Ramadan sekitar Kuala Selangor setakat lima hari program MySave Food@Bazar Ramadan.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan makanan diagih ke beberapa kawasan sekitar termasuk rumah kebajikan, institusi pendidikan dan masjid.

“Program ini bertujuan mengelak pembaziran makanan dan mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan.

“Peniaga digalakkan untuk menyumbangkan baki makanan yang tidak terjual untuk disumbang kepada mereka yang lebih memerlukan seperti di rumah kebajikan,” katanya di Facebook.

Sukarelawan MySave Food@Bazar Ramadan mengumpul lebihan makanan di bazar Ramadan Jalan K/P 1, Tanjong Karang pada 29 Mac 2024. Foto Facebook MPKS

Menurut MPKS, kutipan yang dilaksana pada 27, 29 Mac, 1 hingga 3 April bakal diteruskan pada 5 dan 8 April ini.

“Pada 5 dan 8 April kutipan masing-masing akan dibuat di bazar Ramadan hadapan IADA Kuala Selangor dan bazar Ramadan hadapan Lotus Kuala Selangor,” katanya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program MySave Food@Bazar Ramadan yang dirintis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diperluas ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengumpulkan lebihan makanan tidak terjual di bazar Ramadan.


Pengarang :