Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat memantau kawasan berisiko tinggi banjir sebagai persediaan menghadapi monsun laut dan Fenomena Air Laut Pasang Besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang pada 12 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Fenomena air pasang besar bermula hari ini, penduduk diminta waspada

SHAH ALAM, 8 APRIL: Orang awam khususnya penduduk Pelabuhan Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal bermula hari ini sehingga 12 April.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan bacaan paras air laut di daerah itu dijangka meningkat setinggi 5.7 meter esok yang mungkin membawa risiko banjir.

Berdasarkan infografik di Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Klang, bacaan paras air laut dijangka setinggi 5.6 meter jam 6.09 petang ini selain ramalan hujan dan ribut petir di beberapa tempat pada waktu sama.

Pada 9 April, bacaan paras air laut adalah 5 meter jam 6.23 pagi dan cuaca diramalkan baik, manakala pada sebelah petang jangkaan paras air laut 5.7 meter jam 6.47 petang bersama ramalan cuaca hujan dan ribut petir sehingga malam.

“Pada 10 April, bacaan paras air laut adalah 5.1 meter jam 7.02 pagi dan cuaca diramalkan hujan, serta bacaan paras air laut dijangka 5.6 meter jam 7.22 petang tanpa hujan pada waktu sama.

“Pada 11 April, bacaan paras air laut adalah 5 meter jam 7.38 pagi dan cuaca diramal baik, manakala air laut dijangka setinggi 5.4 meter jam 7.54 petang bersama ramalan ribut petir pada waktu petang,” katanya menerusi infografik.

Pada hari terakhir (12 April), bacaan paras air laut dijangka mencatat 4.8 meter jam 8.12 pagi dan 5 meter pada jam 8.24 malam. Bagaimanapun cuaca diramal baik sepanjang hari berkenaan.

“Orang awam diminta untuk bersedia dan peka terhadap keadaan sekeliling. Sumber ramalan ini adalah dari Pusat Hydografi Nasional dan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Pusat Operasi Bencana Klang boleh dihubungi menerusi talian 03-3371 6700 atau menerusi aplikasi WhatsApp 010-973 1963.


Pengarang :