Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, bekas Mufti Besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah (kanan) dan Pengetua Darul Musthafa di Yaman Al-Habib Umar Hafidz dalam majlis penutup Festival Turath Islami Selangor di Shah Alam pada 25 Mei 2023.
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Festival turath Mei himpun ulama, kupas kitab Imam An-Nawawi

Selangor meningkatkan lagi usaha memartabat syiar Islam dengan menganjurkan majlis ilmu yang mendalam melalui syarahan tokoh ulama antarabangsa.

Dianjurkan kali pertama tahun lalu, Festival Turath Islami Selangor kali kedua hujung bulan Mei dijangka lebih menarik dengan penambahan beberapa program baharu.

Program yang sedang dirancang: kuliah lengkap syarah Hadis 40 Imam an-Nawawi oleh bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab, pameran turath Islami dan konsert zikir daripada artis terkenal luar negara.

Festival tahun 2023 mengangkat kitab Imam al-Ghazali khususnya Ihya Ulumuddin sebagai tajuk perbincangan, tetapi festival tahun ini antara 26 Mei hingga 2 Jun bakal mengangkat seorang lagi ulama besar, Imam an-Nawawi.

Selain kitab Hadis 40, karya hebat sarjana ulung mazhab Syafie itu termasuklah al-Minhaj, kitab syarah Sahih Muslim, dan himpunan pelbagai hadis berkaitan ibadat Riyadus Solihin.

Kitab-kitabnya menjadi rujukan dunia, termasuk di Timur Tengah dan Asia Tenggara, khasnya dalam kalangan pengikut Ahli Sunnah wal Jamaah dan mazhab Syafie.

Nama asalnya Yahya bin Sharaf, an-Nawawi hidup di Syria pada abad ke-13, pada zaman pemerintahan Mamluk. Beliau mengarang kira-kira 50 buah karya dalam pelbagai bidang termasuk hadis, akidah dan fekah.

Sepanjang hayatnya 45 tahun, beliau menghabiskan masa hampir tiga dekad mengarang lebih kurang 40 halaman setiap hari sejak usia 18 tahun.

“Lebih menarik, huraian Hadis 40 an-Nawawi akan disampaikan oleh Syeikh Ali Jumaah melalui kitab syarah karangan beliau sendiri. Edisi terjemahan bahasa Melayu kitab syarahan ini kita akan guna dalam pengajian (bulan Mei ini),” kata Pengarah Sekretariat Turath Farhan Affandi.

“Setiap tahun, jika festival ini berjaya diadakan lagi, kita merancang mengangkat seorang tokoh ulama besar dan kitabnya yang paling penting.”

Jelasnya, kitab syarah Dr Ali Jumaah itu dipilih kerana ia menghurai isu semasa, menjadikan perbahasan ilmu “lebih segar” selama lima hari dalam beberapa sesi sebelah pagi, petang dan malam.

Semua 10 acara terbuka yang dirancang selama seminggu dijadual diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Hanya perbincangan ilmiah dirancang dibuat di sebuah universiti milik kerajaan negeri.

Amirudin bersama Dr Ali Jum’ah ketika Daurah Afkar Ihya Ulumuddin dan majlis perasmian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei.

Sebagai menambah daya tarikan ke festival tahun kedua, penganjur merancang mempamerkan sejumlah manuskrip al-Quran dan kitab karangan ulama Melayu termasuk motif, warna dan ragam hias naskhah-naskhah tersebut.

Pameran itu diadakan bertujuan sebagai langkah awal mendekatkan peserta untuk menelusuri keunikan khazanah warisan Islam oleh ulama nusantara terdahulu. Pameran ini dikatakan berlangsung sepanjang festival ini.

Setelah puas bergelut dengan menadah kitab, membahas dan menyelami pemikiran Imam an-Nawawi, peserta dihidangkan dengan konsert awam yang mempersembahkan lagu puji-pujian kepada Allah dan Rasul.

Menadah kitab

Berbanding festival antara 20 hingga 25 Mei tahun lepas yang penulis ini ikuti hampir sepenuhnya, festival tahun ini jelas lebih padat dan mengujakan dari sudut pengisian program.

Difahamkan penganjur mengekalkan format program tahun lepas seperti seminar, perbincangan ilmiah, majlis zikir, daurah dan syarahan. Gaya pengajian tradisi secara bertalaqqi (menadah kitab) dan pembentangan kertas kerja dikekalkan.

Penganjuran kali ini turut melibatkan lebih ramai ilmuwan besar dan terkenal dari Thailand, Indonesia, Singapura, Mesir dan Yaman. Ditambah ilmuwan tempatan, kehadiran mereka ini akan mendorong perbahasan lebih menarik.

Bagaimanapun masih tidak pasti sama ada tokoh-tokoh yang dijemput boleh hadir seperti dijadual kerana penganjur masih menunggu maklum balas daripada tokoh terbabit. Perkembangan ini dimaklum dari semasa ke semasa.

Untuk mereka yang ingin mencari kitab penting dalam bahasa Melayu, terjemahan beberapa jilid lagi Ihya Ulumuddin dan kitab syarahan Hadis 40 karya Dr Ali Jumaah akan dijual sepanjang festival.

Terjemahan lengkap karya Imam al-Ghazali itu yang diterbit berperingkat-peringkat dibiayai oleh Kerajaan Negeri bawah Siri Warisan Islami Selangor.

Seperti Siri Pencerahan Selangor yang dimulakan pada 2016, siri ini juga dijayakan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Festival cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya menarik lebih 10,000 peserta termasuk dari Indonesia, Thailand dan Singapura. Mereka memenuhi ruang bagi mendengar sendiri perbahasan para ulama.

Acara sulung festival 2023 dimulai huraian kitab al-Ghazali oleh Dr Ali Jum’ah. Ahli Majlis Tertinggi Ulama Universiti al-Azhar itu, bersama Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir, turut memimpin majlis zikir.

Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir menghayati huraian Dr Said Aqil Siradj ketika seminar penghayatan di Hotel Concorde pada 22 Mei.

Tradisi al-Quran

Tokoh tempatan dan antarabangsa seperti Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Dr Said Aqil Siradj, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni berbicara dalam Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin.

Rata-rata peserta menikmati kupasan mereka yang membangkitkan keghairahan berilmu, berpegang teguh kepada tradisi al-Quran serta hadis, dan menjaga akhlak melalui amalan kerohanian.

Dr Osman (dua, kiri), Dr Muhammad Nur (empat, kiri) bersama Amirudin ketika perasmian Seminar Penghayatan Ihya Ulumuddin

Sarjana Universiti al-Azhar itu amat arif membicarakan keilmuan al-Ghazali dengan membentang sejarah dan penyusunan adikarya itu dalam tiga sesi program Daurah Afkar Ihya Ulumuddin.

Sepanjang daurah itu, beliau mengupas isi utama tujuh bab awal kitab Ihya Ulumuddin antaranya keutamaan ilmu, akidah, rahsia bersuci, solat, puasa, zakat dan haji dalam kerangka dalam pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tidak cukup dengan itu, kitab Ihya dibaca dan diajar kepada peserta oleh ulama pondok Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni beberapa minggu menjelang festival lepas.

Kuliah pertama beliau pada 1 Mei dibuat di kediaman rasmi menteri besar. Baba Ismail meneruskan pengajarannya secara talaqqi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Julai dan Oktober lalu.

Difahamkan Baba Ismail akan menyambung semula pengajian Ihya Ulumudin dan kitab tauhid Mawaqif al-Marjan di masjid sama pada hujung April ini bagi menyemarakkan lagi penganjuran festival turath kali ini.

Penuntut ilmu agama khusyuk mendengar perbahasan kitab Imam al-Ghazali ketika majlis Daurah Afkar Ihya Ulumuddin pada 20 Mei.

Pengarang :