Anggota bomba dalam proses mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang bertembung lori tangki di Jalan Tanjung Balau–Bandar Penawar berhampiran Taman Sri Penawar, Kota Tinggi pada 12 April 2024. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Ibu, bayi tiga bulan maut kereta bertembung lori tangki

KOTA TINGGI, 13 APRIL: Seorang ibu bersama bayi perempuannya berusia tiga bulan maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki di Jalan Tanjung Balau–Bandar Penawar berhampiran Taman Sri Penawar di sini semalam.

Pegawai Bomba Kanan II KUP Azlan Mat Sani dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.38 tengah hari sebelum lapan anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Najwa Nurshahira Kamaruzaman, 28, dan anaknya Felkah Nurnadeera Muhammad Fahmy.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki.

“Ibu dan bayi terbabit merupakan penumpang Perodua Myvi dan mereka didapati tersepit di bahagian penumpang hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh PKO menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.

Menurut Azlan, pemandu Perodua Myvi dikenali sebagai Muhammad Fahmy Ali, 30, dan dua lagi anaknya Muhammad Fakhrul Naufal Muhammad Fahmy, 8, dan Muhammad Fakhrul Naqil Muhammad Fahmy, 5, mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Penawar di sini untuk rawatan lanjut.

“Dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu lori lelaki berumur 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.46 petang.

-BERNAMA

 


Pengarang :